|
| 76. |
Orang-orang
yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula
berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu
akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan
itu adalah lemah.
|
| 77. |
Tidakkah
engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah)
dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan
perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah
zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka
diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun
kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau
lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai
Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa
Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat
kami)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Harba benda yang menjadi kesenangan
di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan)
hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana
ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya
sedikit pun".
|
| 78. |
Di mana
jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun
kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka
beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi
Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah
dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya
itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah
yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat
dan pengajaran)?
|
| 79. |
Apa jua
kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah;
dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu
sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh
umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah
Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).
|
| 80. |
Sesiapa
yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah;
dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai
Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara
mereka dari melakukan kesalahan).
|
| 81. |
Dan mereka
(golongan munafik) berkata: "(Kami) taat", kemudian apabila mereka keluar
dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan
yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang
Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka
berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa
yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah
Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).
|
| 82. |
Patutkah
mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah
Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati
perselisihan yang banyak di dalamnya.
|
| 83. |
Dan apabila
datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka
terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada
Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara
mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil
keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah
kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas)
menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya
dan luas ilmunya di antara kamu).
|
| 84. |
Oleh itu,
berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari
pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu
sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya
turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya
serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar
kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.
|
| 85. |
Sesiapa
yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala)
daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia
akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 86. |
Dan apabila
kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi
salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya,
atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa
menghitung tiap-tiap sesuatu.
|
| 87. |
Allah,
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan
menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya.
Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?
|
| 88. |
Maka apakah
yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik
itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan
apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi pertunjuk
kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang
telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat
jalan untuk menyelamatkannya.
|
| 89. |
Mereka
suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir,
maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu
janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat
kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam).
Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan
bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali
kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau
penolong;
|
| 90. |
Kecuali
orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada
ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang
datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu
atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan
mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu.
Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau
mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian
kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang
membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.
|
| 91. |
Kamu juga
akan dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya mereka
beroleh aman dari pihak kamu, dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya)
supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap
kali mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera terjerumus
ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu (dan terus mengganggu
atau berpihak kepada musuh), dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada
kamu dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu),
maka hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana
sahaja kamu menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan
bagi kamu alasan yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya.
|
| 92. |

Dan tidak
harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain,
kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin
dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan
seorang hamba yang beriman serta membayar "diah" (denda ganti nyawa) yang
diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan
(memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari
kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah
si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba
yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu)
dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan
mereka, maka wajiblah membayar "diah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya
serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa
yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah
ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari
Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 93. |
Dan sesiapa
yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka
jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya
serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.
|
| 94. |
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela
Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya),
dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan
kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah
Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan
tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan
dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia
itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah
juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman
kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan
nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu,
dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa
memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.
|
| 95. |
Tidaklah
sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan
orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran
- dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela
Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang
dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk
(tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap
satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik
(Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang
yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan
pahala yang amat besar;
|
| 96. |
Iaitu beberapa
darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan.
Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 97. |
Sesungguhnya
orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya
diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas
oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:
"Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab:
"Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya
lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan
bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat
akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk
tempat kembali.
|
| 98. |
Kecuali
orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta
kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri)
dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).
|
| 99. |
Maka mereka
(yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah),
Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
|
| 100. |
Dan sesiapa
yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya
ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki
yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah
kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya
telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|