|
| 51. |
Tidakkah
engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang
yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada
benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan
mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa
mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang
yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w).
|
| 52. |
(Kaum Yahudi
yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah;
dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan
mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.
|
| 53. |
Patutkah
ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah?
(Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan
sedikitpun kebaikan kepada manusia.
|
| 54. |
Atau patutkah
mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat
(pangkat Nabi dan ugama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka
dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada
keluarga Ibrahim: Kitab (ugama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah
memberi kepada mereka kerajaan yang besar.
|
| 55. |
Maka di
antara mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa
yang telah di kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan
ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan
cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi
tempat seksa mereka).
|
| 56. |
Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan
membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus,
Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab
sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
|
| 57. |
Dan orang-orang
yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci
bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.
|
| 58. |
Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya
(yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah
dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
|
| 59. |
Wahai orang-orang
yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah
dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,
maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan
(Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
|
| 60. |
Tidakkah
engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa
bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu
dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka
suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan
supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak
menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
|
| 61. |
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah
diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau melihat
orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh
daripada menghampirimu.
|
| 62. |
Maka bagaimana
halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan)
yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu
sambil bersumpah: "Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan
kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)".
|
| 63. |
Mereka
itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati
mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka,
serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada
hati mereka.
|
| 64. |
Dan Kami
tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin
Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang
kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah
juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima
taubat, lagi Maha Mengasihani.
|
| 65. |
Maka demi
Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka
menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan
dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu
dengan sepenuhnya.
|
| 66. |
Dan sesungguhnya
kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu
sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak
akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau
mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah
diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka
dan lebih meneguhkan (iman mereka).
|
| 67. |
Dan (setelah
mereka berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka -
dari sisi Kami - pahala balasan yang amat besar;
|
| 68. |
Dan tentulah
Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus.
|
| 69. |
Dan sesiapa
yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga)
bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada
mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang
Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi
teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
|
| 70. |
Yang demikian
itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui
(akan balasan pahalanya).
|
| 71. |
Wahai orang-orang
yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi
musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi
sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.
|
| 72. |
Dan sesungguhnya
ada di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya
(juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau
kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata: "Sesungguhnya
Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang
bersama-sama mereka".
|
| 73. |
Dan demi
sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia (kemenangan) dari Allah,
sudah tentu ia mengatakan (dengan sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan
kasih mesra antara kamu dengannya: "Alangkah baiknya kalau aku turut serta
bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang amat besar?"
|
| 74. |
Oleh itu,
orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada
(kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah
(untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu
ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi
kepadanya pahala yang besar.
|
| 75. |
Dan apakah
yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah
(untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang
tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang
selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari
negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim,
dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan
ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang
membela kami (dari ancaman musuh)".
|