|
| 26. |
Allah menghendaki
(dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu)
ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu
jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan
orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima
taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 27. |
Dan Allah
hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang
orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan
oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran)
dengan penyelewengan yang besar bahayanya.
|
| 28. |
Allah (sentiasa)
hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan
berkeadaan lemah.
|
| 29. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu
dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan
perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah
kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani
kamu.
|
| 30. |
Dan sesiapa
berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan
dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi
Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).
|
| 31. |
Jika kamu
menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan
kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat
yang mulia (syurga).
|
| 32. |
Dan janganlah
kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah
berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi
sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat
kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa
yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari
apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada
Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
|
| 33. |
Dan bagi
tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang
yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat.
Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka
(untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah
kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap
sesuatu.
|
| 34. |
Kaum lelaki
itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,
oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa
keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki
telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka
perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya),
dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara)
ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz)
hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah
mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka
(dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka
taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan
mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
|
| 35. |
Dan jika
kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka
lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari
keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang
tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah
akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.
|
| 36. |
Dan hendaklah
kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu
apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum
kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga
yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang
musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan
diri;
|
| 37. |
Iaitu orang-orang
yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa
jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya. Dan (sebenarnya)
Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;
|
| 38. |
Dan juga
orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia
(riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman
kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya,
maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.
|
| 39. |
Dan apakah
(kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan
hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan
Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan
mereka.
|
| 40. |
Sesungguhnya
Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah
(debu).
Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan
menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.
|
| 41. |
Maka bagaimanakah
(keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan
dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi
terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad)
sebagai saksi terhadap umatmu ini?
|
| 42. |
Pada hari
itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika
mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka
tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.
|
| 43. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang
kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang
kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan
Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu
mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah
seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh
dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk),
maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah
ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi
Maha Pengampun.
|
| 44. |
Tidakkah
engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian
dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan),
dan mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.
|
| 45. |
Dan Allah
lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah
angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi,
dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara
mereka).
|
| 46. |
Di antara
orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi
Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada
Nabi Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati): "Kami
tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah dengar, tuan tidak
diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka mengatakan): "Raaeina";
(Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan
mereka dan mencela ugama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: "Kami dengar
dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah
yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah
melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman
kecuali sedikit sahaja (di antara mereka).
|
| 47. |
Wahai orang-orang
yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami
turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum
Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi
rata - tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya
sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana
Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka - Yahudi) yang melanggar
larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap
berlaku.
|
| 48. |
Sesungguhnya
Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu
apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan
Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan
dosa yang besar.
|
| 49. |
Tidakkah
engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang
yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak
manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak
akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.
|
| 50. |
Lihatlah
(wahai Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara
dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang
nyata.
|