|
| 1. |
Wahai sekalian
manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula)
dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya
(isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan
- lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu
selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati
(mengawas) kamu.
|
| 2. |
Dan berikanlah
kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah
kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan
harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya
(yang demikian) itu adalah dosa yang besar.
|
| 3. |
Dan jika
kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila
kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu
berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian
jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu)
maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba
perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk
mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
|
| 4. |
Dan berikanlah
kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian
yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada
kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian
(yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
|
| 5. |
Dan janganlah
kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya
akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah
menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu;
dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu
niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
|
| 6. |
Dan ujilah
anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa).
Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan
bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah
kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim
itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang)
sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim
itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa
yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian
apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan
saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai
Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).
|
| 7. |
Orang-orang
lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang
perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,
sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian
yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
|
| 8. |
Dan apabila
kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta
orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah
kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan
kata-kata yang baik.
|
| 9. |
Dan hendaklah
takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh)
orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula
meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah)
mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak
mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah
mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).
|
| 10. |
Sesungguhnya
orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya
mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula
akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
|
| 11. |

Allah perintahkan
kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian
seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi
jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah
dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan
itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta
itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu
perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai
anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya
hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau
pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka
bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan
wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.
lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya
yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta
pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu
ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
|
| 12. |

Dan bagi
kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika
mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu
beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan
wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi
mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan,
jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian
mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan,
sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang
kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak
meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki
(seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari
keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu
itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan
mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat
yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat
yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris).
(Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
|
| 13. |
Segala
hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga
yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya;
dan itulah kejayaan yang amat besar.
|
| 14. |
Dan sesiapa
yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya,
akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya,
dan baginya azab seksa yang amat menghina.
|
| 15. |
Dan sesiapa
yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu,
maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap
perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan
perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu)
dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan
untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).
|
| 16. |
Dan (mana-mana)
dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah
sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika
mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu),
maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima
taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.
|
| 17. |
Sesungguhnya
penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang
melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera
bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya;
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 18. |
Dan tidak
ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan,
hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya
aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan
(demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir.
Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
|
| 19. |
Wahai orang-orang
yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan
jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan
menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari
apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan
perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri
kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada
mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya),
kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan
pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
|
| 20. |
Dan jika
kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu
ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya
(isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil
sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang
tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?
|
| 21. |
Dan bagaimana
kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah
terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu
itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
|
| 22. |
Dan janganlah
kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh
bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya
perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah),
serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
|
| 23. |
Diharamkan
kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu
kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara
bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang
lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang
telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri
kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri
yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri
kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu
(berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri
anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu
menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali
yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 24. |
Dan (diharamkan
juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba
sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu
ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan
bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk
kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.
Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah
ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan
sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah
kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh
kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan
kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 25. |

Dan sesiapa
di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin
dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara
kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba
perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan
iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba
- abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu
berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya
menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri,
hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang
mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba
perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina),
maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas
perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang
membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah
bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya
kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik
bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|