|
| 1. |
Haa, Miim. |
| 2. |
Turunnya
Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
|
| 3. |
Yang Mengampunkan
dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah
kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali.
|
| 4. |
Tidak ada
yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir.
Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan
mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang
lain.
|
| 5. |
Sebelum
mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung - sesudah kaum Nabi
Nuh itu - telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya
telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya
(dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang
salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab
itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!
|
| 6. |
Dan demikianlah
juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya
mereka ialah ahli neraka.
|
| 7. |
Malaikat
yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih
memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi
orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu
dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang
yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab
neraka.
|
| 8. |
"Wahai
Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah
janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang
yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan
mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 9. |
"Dan peliharalah
mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya)
sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan
(yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat
kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)".
|
| 10. |
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada
hari kiamat): "Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar
daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu
diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak),
lalu kamu terus berkeadaan kufur".
|
| 11. |
Mereka
menjawab: "Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati
dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami
(sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan
untuk (kami) keluar (dari neraka)?"
|
| 12. |
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan
kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur
(dan menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan
Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa menjalankan
keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan),
lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya)".
|
| 13. |
Dia lah
Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya
(untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu)
sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil
pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada
Allah).
|
| 14. |
Oleh itu
maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan
menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan
kamu yang demikian).
|
| 15. |
Dia lah
Yang Maha tinggi darjat kebesaranNya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan
keagungan dan kekuasaanNya); Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih
menjadi RasulNya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari
pertemuan,
|
| 16. |
Iaitu hari
mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan
tersembunyi kepada Allah sesuatupun dari hal keadaan mereka. (Pada saat
itu Allah berfirman): "Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?
(Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang
Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!
|
| 17. |
"Pada hari
ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak
ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat
hitungan hisabNya.
|
| 18. |
Dan berilah
amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat
(masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana
cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu)
orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh
membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.
|
| 19. |
Allah mengetahui
pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang,
serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.
|
| 20. |
Dan Allah
memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka sembah yang lain dari
Allah - tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah Dia
lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
|
| 21. |
Tidakkah
mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah
mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari
mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang
kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi.
Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa
mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka
dari azab Allah.
|
| 22. |
(Kebinasaan
mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul
yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum
dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah menyeksa
mereka, sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab seksaNya.
|
| 23. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan
bukti (mukjizat) yang jelas nyata
|
| 24. |
Kepada
Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata:
"Ia seorang ahli sihir, lagi pendusta!"
|
| 25. |
Setelah
Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami,
mereka berkata (dengan marahnya): "Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang
yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka".
(Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka
tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja.
|