|
| 1. |
Yaa, Siin.
|
| 2. |
Demi Al-Quran
yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
|
| 3. |
Sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah
diutus,
|
| 4. |
Yang tetap
di atas jalan yang lurus (ugama Islam).
|
| 5. |
Al-Quran
itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
|
| 6. |
Supaya
engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah
lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.
|
| 7. |
Demi sesungguhnya,
telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu
beriman.
|
| 8. |
Sesungguhnya
Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran
sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka;
(lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah
mereka terdongak.
|
| 9. |
Dan Kami
jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu
sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan
dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang
menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka
(pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu,
mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
|
| 10. |
Dan (dengan
sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak
beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.
|
| 11. |
Sesungguhnya
peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah
yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta
ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang
dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita
yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
|
| 12. |
Sesungguhnya
Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang
mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka
tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu
dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
|
| 13. |
Dan ceritakanlah
kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar
(yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
|
| 14. |
Ketika
Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya;
kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu
Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada
kamu '.
|
| 15. |
Penduduk
bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami
juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang
ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".
|
| 16. |
Rasul-rasul
berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul
yang diutus kepada kamu,
|
| 17. |
"Dan tugas
Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas
nyata".
|
| 18. |
Penduduk
bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan
sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan
tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah
tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".
|
| 19. |
Rasul-rasul
itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran)
yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat
pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)?
(Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".
|
| 20. |
Dan (semasa
Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu
dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah
Rasul-rasul itu -
|
| 21. |
"Turutlah
orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka
adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
|
| 22. |
Dan (apabila
ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa
aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah
(aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
|
| 23. |
"Patutkah
aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut,
kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu
bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka
juga tidak dapat menyelamatkan daku.
|
| 24. |
"Sesungguhnya
aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam
kesesatan yang nyata.
|
| 25. |
"Sesungguhnya
aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.
|