|
| 1. |
Segala
puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan
malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah
pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 2. |
Apa jua
jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun
yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada
sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah
sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 3. |
Wahai umat
manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu;
tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia
memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan
Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?
|
| 4. |
Dan jika
mereka mendustakanmu (wahai Muhammad), maka sesungguhnya Rasul-rasul yang
terdahulu sebelummu telah juga didustakan (oleh kaumnya masing-masing).
Dan (Ingatlah), kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
|
| 5. |
Wahai umat
manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka
janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah
Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu
terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).
|
| 6. |
Sesungguhnya
Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi
tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi
dari penduduk neraka.
|
| 7. |
Orang-orang
yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang-orang yang beriman serta
beramal soleh, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.
|
| 8. |
Maka (fikirkanlah)
adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu
ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang
yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah
kepadanya, atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa
yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa
yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai
Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. |
| 9. |
Dan Allah
jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian
Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami
hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian
itu pula kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).
|
| 10. |
Sesiapa
yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan
mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada
Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan
tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh
pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan
kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan
kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang
berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.
|
| 11. |
Dan Allah
menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian
Ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung
seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan
(anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah.
Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang
pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya
yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.
|
| 12. |
Dan tidaklah
sama keadaan dua laut (sekalipun satu jenisnya), yang satu tawar lagi memuaskan
dahaga serta sesuai diminum, sementara yang satu lagi masin lagi pahit.
Dan (kedua-duanya itu berfaedah kepada kamu): dari tiap-tiap satunya kamu
dapat makan daging yang lembut - hidup-hidup, dan dapat pula kamu mengeluarkan
benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; (selain itu) engkau melihat
pula kapal-kapal membelah air belayar padanya; (diadakan semuanya itu)
supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah, dan supaya kamu
bersyukur.
|
| 13. |
Allah jua
yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih
berganti), dan Ia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap
satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang
melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan;
sedang mereka yang kamu sembah - yang lain dari Allah - tidak mempunyai
sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma.
|
| 14. |
Kalau kamu
memohon kepada mereka (yang kamu sembah itu): mereka tidak mendengar permohonan
kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memberikan
apa yang kamu pohonkan itu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari
perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tidak ada yang dapat memberi tahu
kepadamu (wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan
Allah Yang Maha Mendalam PengetahuanNya.
|
| 15. |
(Oleh kerana
Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang
sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia
lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
|
| 16. |
Jika Ia
mahu, nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu.
|
| 17. |
Dan (perlaksanaan)
yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah.
|
| 18. |
Dan (ketahuilah),
seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika
seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain)
untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun
daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya
sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan
kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka
tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka
mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala
yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan
dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.
|
| 19. |
Dan tidaklah
sama orang buat dengan orang yang melihat.
|
| 20. |
Dan tidaklah
sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang,
|
| 21. |
Dan tidaklah
sama suasana yang teduh dengan yang kencang panasnya.
|
| 22. |
Dan (Demikianlah
pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati.
Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan
sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta
menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang
yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).
|
| 23. |
Engkau
tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.
|
| 24. |
Sesungguhnya
Kami mengutusmu dengan (Ugama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira
(kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam
kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.
|
| 25. |
Dan jika
mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah
menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka
telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulnya
dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab
(nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (syariat) yang terang jelas.
|