|
| 26. |
Katakanlah
lagi:" Tuhan kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat), kemudian
Ia akan menyelesaikan perselisihan yang ada di antara kita dengan penyelesaian
yang benar; dan Dia lah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang Maha Mengetahui
segala-galanya".
|
| 27. |
Katakanlah
lagi: "Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat ketuhanan yang ada pada makhluk-makhluk
yang kamu hubungkan dengan Allah sebagai sekutu-sekutuNya. Tidak ada pada
sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu, bahkan yang mempunyai sifat-sifat
ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
|
| 28. |
Dan tiadalah
Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya,
sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman),
dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
|
| 29. |
Dan mereka
(yang ingkar) bertanya: "Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan
itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?"
|
| 30. |
Jawablah
(wahai Muhammad): "Untuk kamu disediakan satu hari yang kamu tidak dapat
melambatkannya sesaat pun, dan tidak pula kamu dapat menyegerakannya".
|
| 31. |
Dan orang-orang
yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran
ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya".
Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim
itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing
tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas
berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya):
"Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah
kami sudah menjadi orang yang beriman".
|
| 32. |
Orang-orang
yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah
yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia
datang kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan
diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa".
|
| 33. |
Dan berkata
pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur
itu: "Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan
kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku
kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing
diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat
azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang
kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah
kerjakan.
|
| 34. |
Dan Kami
tidak mengutus kepada sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran melainkan
orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya
kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya".
|
| 35. |
Dan mereka
berkata lagi: "Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula
tidak akan diseksa".
|
| 36. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang
dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat
itu).
|
| 37. |
Dan bukanlah
harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu
di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan
apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai
(di Syurga) dengan aman sentosa.
|
| 38. |
Dan orang-orang
yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil
menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan berada
di dalam azab seksa.
|
| 39. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan
baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya;
dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki".
|
| 40. |
Dan (ingatkanlah)
masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya
kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu
dahulu?"
|
| 41. |
Malaikat
menjawab: "Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah
(yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak
ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka
kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka
pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan
dipatuhi)".
|
| 42. |
Maka pada
hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang
manfaat kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya;
dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu:
"Rasalah azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya".
|
| 43. |
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah
mereka (sesama sendiri): "Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang
lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah
oleh datuk nenek kamu"; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain
hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka"; dan berkatalah orang-orang
yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: "ini tidak
lain hanyalah sihir yang terang nyata".
|
| 44. |
Dan (tidak
ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi
kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami
juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang
Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).
|
| 45. |
Dan (ketahuilah
bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan
(Rasul-rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak: mencapai
satu persepuluh (dari kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri
kepada umat-umat yang terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan
Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah
bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).
|
| 46. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu
perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari
kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan
orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya
(untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada
(Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana
yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum
kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).
|
| 47. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai
upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi upahku
yang sebenar hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan
tiap-tiap sesuatu".
|
| 48. |
Katakanlah
lagi: "Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu (kepada Nabi-nabi pilihanNya)
dengan perkara yang benar; Ia sentiasa Mengetahui akan segala perkara yang
ghaib".
|
| 49. |
Katakanlah
lagi: "Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan),
dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan
hendak mengulanginya di akhirat".
|
| 50. |
Katakanlah
lagi: "Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku
sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan
apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya Ia Maha Mendengar,
lagi Maha Dekat".
|