|
| 51. |
Engkau
boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau
boleh mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau
hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka
tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu
itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan
hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan
mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan
(ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
|
| 52. |
Tidak halal
bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu
yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri
yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali
hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa
Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
|
| 53. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak
kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan,
bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput
maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan
maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang
dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan
Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang
Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta
sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada
mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu
dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah
dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.
Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi
Allah.
|
| 54. |
(Awasilah
keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu sembunyikan
dia, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.
|
| 55. |
Tidak ada
salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi
anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka,
dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak
lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara
perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka, serta hamba-hamba
yang dimiliki oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya
Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
|
| 56. |
Sesungguhnya
Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan)
kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah
kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang
sepenuhnya.
|
| 57. |
Sesungguhnya
orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya,
Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk
mereka azab seksa yang menghina.
|
| 58. |
Dan orang-orang
yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang
perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat
dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah
memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.
|
| 59. |
Wahai Nabi,
suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan
yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya
(semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal
(sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.
Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 60. |
Demi sesungguhnya,
jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu)
dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di
Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya
Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal
berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,
|
| 61. |
serta mereka
tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan
dibunuh habis-habisan.
|
| 62. |
Yang demikian
adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah
lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi
"Sunnatullah" itu.
|
| 63. |
Manusia
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah:
"Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. " Dan
apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak
lama lagi.
|
| 64. |
Sesungguhnya
Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api
neraka yang marak menjulang, -
|
| 65. |
kekalah
mereka di dalamnya selama-lamanya; mereka pula tidak akan memperoleh sesiapapun
yang akan menjadi pelindung atau penolong.
|
| 66. |
Pada masa
muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya):
"Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah
serta taat kepada Rasul Allah.
|
| 67. |
Dan mereka
berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak
ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari
jalan yang benar.
|
| 68. |
"Wahai
Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah
mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!"
|
| 69. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang
telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian
yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.
|
| 70. |
Wahai orang-orang
yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat
- benar (dalam segala perkara),
|
| 71. |
Supaya
Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa
kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
|
| 72. |
Sesungguhnya
Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi
serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan
bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan
untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang
ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan
manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara
yang tidak patut dikerjakan.
|
| 73. |
(Dengan
kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa
orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik,
dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik;
dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta
orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|