|
| 26. |
Dan Ia
menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh
itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati
mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman);
sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
|
| 27. |
Dan Ia
menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda
mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya.
Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 28. |
Wahai Nabi,
katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan
dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku
berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu
dengan cara yang sebaik-baiknya.
|
| 29. |
"Dan sekiranya
kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan)
di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang
yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".
|
| 30. |
Wahai isteri-isteri
Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang
nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman)
yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
|
| 31. |
Dan sesiapa
di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan
amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda,
dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
|
| 32. |
Wahai isteri-isteri
Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu
tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja
(semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan
keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada
kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan
sopan).
|
| 33. |
Dan hendaklah
kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti
yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah
sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.
Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana
hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai
"AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala
perkara yang keji).
|
| 34. |
Dan ingatlah
(serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran)
dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha
Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
|
| 35. |
Sesungguhnya
orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan
orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman,
dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat,
dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar,
dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar,
dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang
perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang
bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang
lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang
lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara
kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak
serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah
telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
|
| 36. |
Dan tidaklah
harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah
dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah
harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.
Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya
ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
|
| 37. |
Dan (ingatlah
wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan
oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik
kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah",
sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya;
dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang
berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai
habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan
engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman
untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak
angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya).
Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.
|
| 38. |
Tidaklah
ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara
yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut
peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah
lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan
berlakunya.
|
| 39. |
(Nabi-nabi
yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah
serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada
sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung
(segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).
|
| 40. |
Bukanlah
Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar
bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan
kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 41. |
Wahai orang-orang
yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama
Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
|
| 42. |
Dan bertasbihlah
kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
|
| 43. |
Dia lah
yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu)
- untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada
cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah
rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).
|
| 44. |
Sambutan
penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah
ucapan "Salam" (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka
pahala balasan yang mulia.
|
| 45. |
Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa
berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada
orang-orang yang ingkar).
|
| 46. |
Dan juga sebagai
penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq yang
diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi. |
| 47. |
Dan (dengan
itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman,
bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.
|
| 48. |
Dan janganlah
engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah
engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah
(memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).
|
| 49. |
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman,
kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah
kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan
masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka,
dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
|
| 50. |

Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan
maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang
telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah
halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan
bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu
(dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah
ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah
berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana
perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya
dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya;
perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang
yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami
wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba
perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu.
Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|