|
| 1. |
Wahai Nabi!
Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang
kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana. |
| 2. |
Dan turutlah
akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut
adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam
akan apa yang kamu lakukan. |
| 3. |
Dan
berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang
lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu. |
| 4. |
(Diperintahkan
dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang
mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri
yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan
anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan
mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan
mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia
lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. |
| 5. |
Panggilah anak-anak
angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah
yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui
bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang
seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa
dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa
itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan
(ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. |
| 6. |
Nabi itu lebih
menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri
mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang-orang
yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan
setengahnya yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada orang-orang
yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali
kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum
yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah. |
| 7. |
(Teruslah bertaqwa
kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya):
perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad),
dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa ibni
Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian setia yang teguh
(bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka); |
| 8. |
(Tuhan berbuat
demikian) supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran
iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan (sebaliknya)
Ia telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak
terperi sakitnya. |
| 9. |
Wahai orang-orang
yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu.
Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka
angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang
kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa
yang kamu lakukan. |
| 10. |
Masa itu ialah
masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah
hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata
kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun
resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka
terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. |
| 11. |
Pada saat itulah
diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya
dengan goncangan yang amat dahsyat. |
| 12. |
Dan lagi masa
itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan
tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan
kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja". |
| 13. |
Dan juga masa
itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib,
tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah".
Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik)
sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan",
pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak
melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam). |
| 14. |
Dan kalaulah
tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya,
kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka
akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan
sebentar sahaja. |
| 15. |
Pada hal sesungguhnya
mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak
akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah)
janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). |
| 16. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari
pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan
faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun,
maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit
masa sahaja". |
| 17. |
Katakanlah:
"Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu
menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan
kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah)
mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun
- yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka. |
| 18. |
Sesungguhnya
Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara
kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah
bersatu dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar
sahaja. |
| 19. |
Mereka bersikap
bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan
sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang
menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai
Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti
orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan
takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakan
kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman,
lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah
bagi Allah melaksanakannya. |
| 20. |
Mereka menyangka
bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab
datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa
bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai
kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka
tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja. |
| 21. |
Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu
bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik)
hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang) |
| 22. |
Dan pada masa
orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:"
Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah
(apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera
musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka
selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat
kepada Allah. |
| 23. |
Di antara orang-orang
yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya
kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada
yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di
antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa
yang mereka janjikan itu) sedikitpun. |
| 24. |
(Berlakunya
yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan
kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki,
atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani. |
| 25. |
Dan Allah telah
menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat
masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa),
mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang
yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah
Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. |