|
| 26. |
Allah jua
yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah
Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
|
| 27. |
Dan sekiranya
segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi
tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya
tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 28. |
(Bagi Allah
Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan
soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya,
hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
|
| 29. |
Tidakkah
engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan
siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan
(untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar
untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
|
| 30. |
Bersifatnya
Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya
Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang
mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah) sesungguhnya
Allah Dia lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
|
| 31. |
Tidakkah
engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat
Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda
kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan
dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya,
lagi sentiasa bersyukur.
|
| 32. |
Dan (orang-orang
yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh
ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu
mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka
kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka
ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu
bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang
mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat
pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.
|
| 33. |
Wahai sekalian
manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat)
yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari
azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya
dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu
adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan
jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan
kamu berani melanggar perintah Allah.
|
| 34. |
Sesungguhnya
di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua
yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang
apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun
yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau
jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah
ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
|