|
| 1. |
Alif, Laam,
Miim.
|
| 2. |
Ini ialah
ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran
yang tetap kukuh,
|
| 3. |
Menjadi
hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal
yang baik
|
| 4. |
Iaitu orang-orang
yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang
adanya hari akhirat.
|
| 5. |
Mereka
itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah
orang-orang yang berjaya.
|
| 6. |
Dan ada
di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada
cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat
menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu
sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang
menghinakan.
|
| 7. |
Dan apabila
dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya,
seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia
dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.
|
| 8. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga
yang penuh dengan berbagai nikmat,
|
| 9. |
kekalan
mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah - janji yang tetap benar;
dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 10. |
Ia menciptakan
langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan
di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan
kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan
hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang
memberi banyak manfaat.
|
| 11. |
Ini (semuanya
adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang
telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu
sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.
|
| 12. |
Dan sesungguhnya
Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan
kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)".
Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada
dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
|
| 13. |
Dan (ingatlah)
ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:"
Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman
yang besar".
|
| 14. |
Dan Kami
wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya
dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga
akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua
tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu;
dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
|
| 15. |
Dan jika
mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu
yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya
maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di
dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk
kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada
Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu
segala yang kamu telah kerjakan.
|
| 16. |
(Luqman
menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya
jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat
bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau
pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya);
kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi
akan segala yang tersembunyi.
|
| 17. |
"Wahai
anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan,
serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah
atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu
adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
|
| 18. |
"Dan janganlah
engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan
diri.
|
| 19. |
"Dan sederhanakanlah
langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata),
sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
|
| 20. |
Tidakkah
kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa
yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami
nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara
manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga
berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.
|
| 21. |
Dan apabila
dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah diturunkan
oleh Allah" mereka menjawab:" (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang
Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk
neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang
menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?
|
| 22. |
Dan sesiapa
yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha
mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan
(tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala
urusan.
|
| 23. |
Dan sesiapa
yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang
kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami
akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung
di dalam dada.
|
| 24. |
Kami akan
berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian
Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.
|
| 25. |
Dan sesungguhnya
jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:
"Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab:
"Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur
disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan
kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).
|