|
| 126. |
Dan Allah
tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi
khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu.
Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari
Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 127. |
(Kemenangan
Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang
kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan
hampa kecewa.
|
| 128. |
Engkau
tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang
ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima
taubat mereka ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu
orang-orang yang zalim.
|
| 129. |
Dan bagi
Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan
sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya.
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 130. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat
ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
|
| 131. |
Dan peliharalah
diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
|
| 132. |
Dan taatlah
kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
|
| 133. |
Dan segeralah
kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan
dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit
dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
|
| 134. |
Iaitu orang-orang
yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang
menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan
(ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang
baik;
|
| 135. |
Dan juga
orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa
mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan
Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah
lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
|
| 136. |
Orang-orang
yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang
yang beramal.
|
| 137. |
Sesungguhnya
telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan
Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah
bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).
|
| 138. |
(Al-Quran)
ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran
bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
|
| 139. |
Dan janganlah
kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam),
dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal
kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan)
jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
|
| 140. |
Jika kamu
(dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum
(musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat
luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari
(dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami
gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya
nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan
yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara
kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada
orang-orang yang zalim.
|
| 141. |
Dan juga
supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka)
dan membinasakan orang-orang yang kafir.
|
| 142. |
Adakah
kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada
Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh)
di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar
(tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
|
| 143. |
Dan sesungguhnya
kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum
kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya
dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).
|
| 144. |
Dan Muhammad
itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa
orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula
mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)?
Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan
mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan
memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam
yang tidak ada bandingannya itu).
|
| 145. |
Dan (tiap-tiap)
makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu
ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah).
Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami
berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki
balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan
Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
|
| 146. |
Dan berapa
banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai
orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat
akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka
juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.
|
| 147. |
Dan tidaklah
ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami
yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam
perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang
kafir.
|
| 148. |
Oleh itu,
Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum),
dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya).
Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
|
| 149. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan
menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang
yang rugi.
|
| 150. |
(Janganlah
kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan
Dia lah sebaik-baik Penolong.
|