|
| 101. |
Dan bagaimana
kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran),
dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang
teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk
hidayah ke jalan yang betul (lurus).
|
| 102. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa,
dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
|
| 103. |
Dan berpegang
teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu
bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan
(semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga
kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat
Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada
di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu
Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah
Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat
petunjuk hidayahNya.
|
| 104. |
Dan hendaklah
ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
(mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta
melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat
demikian ialah orang-orang yang berjaya.
|
| 105. |
Dan janganlah
kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai
dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat
demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.
|
| 106. |
(Ingatlah
akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri,
dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang
telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah
kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka
disebabkan kekufuran kamu itu".
|
| 107. |
Adapun
orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam
limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.
|
| 108. |
Itulah
ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad)
dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman
kepada sekalian makhlukNya.
|
| 109. |
Dan bagi Allah
jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada
Allah jualah dikembalikan segala urusan. |
| 110. |
Kamu (wahai
umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi
dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman)
itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman
dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
|
| 111. |
Mereka
(kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali
menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas).
Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan
kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai
kemenangan.
|
| 112. |
Mereka
ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada,
kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan
sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan
kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka
sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan
mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu
disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum
Allah).
|
| 113. |
Ahli-ahli
Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk
Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca
ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan
sembahyang).
|
| 114. |
Mereka
beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara
yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),
dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan.
Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
|
| 115. |
Dan apa
sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan
diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
|
| 116. |
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak
sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun,
dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
|
| 117. |
Bandingan
apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal
yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang
menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;
dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya
diri sendiri.
|
| 118. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan
kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti
berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan
kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya,
dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya
telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu)
memahaminya.
|
| 119. |
Awaslah!
Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang
suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. kamu
juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada
Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami
beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit
hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad):
"Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui
akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
|
| 120. |
Kalau kamu
beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan
hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.
Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan
kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang
mereka lakukan.
|
| 121. |
Dan (ingatlah
wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu
(di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat
masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 122. |
(Ingatlah)
ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah
semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong
dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah
hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
|
| 123. |
Dan sesungguhnya
Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang
kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat
perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur
(akan kemenangan itu).
|
| 124. |
(Ingatlah
wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk
menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu
kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"
|
| 125. |
Bahkan
(mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka
(musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu
kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.
|