|
| 1. |
Alif, Laam,
Miim.
|
| 2. |
Allah tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal
selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
|
| 3. |
Ia menurunkan
kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran,
yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,
dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
|
| 4. |
Sebelum
(Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga
yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan
Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah
Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang
bersalah).
|
| 5. |
Sesungguhnya
Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga
yang ada di langit.
|
| 6. |
Dia lah
yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya.
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
|
| 7. |

Dia lah
yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian
besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas
dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah
ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat"
(yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham
yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang
yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu
menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari
Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak
ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan
Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam
ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya
dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan
melainkan orang-orang yang berfikiran.
|
| 8. |
(Mereka
berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan
hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada
kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah
pemberianNya.
|
| 9. |
"Wahai
Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia,
untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak
padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
|
| 10. |
Sebenarnya
harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali
akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka
itulah bahan bakaran api neraka.
|
| 11. |
(Keadaan
orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang
yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami,
lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah),
Allah Maha berat azab seksaNya.
|
| 12. |
Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di
dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam,
dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan".
|
| 13. |
Sesungguhnya
telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang
telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang
pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi
dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang
Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan
mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya,
dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat
satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang
celik mata hatinya).
|
| 14. |
Dihiaskan
(dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang
diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang
banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda
lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi
Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
|
| 15. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih
baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan
di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri
yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah),
Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
|
| 16. |
(Iaitu)
orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah
kami dari azab neraka";
|
| 17. |
(Dan juga)
orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang
yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat
(akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada
jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu
sahur.
|
| 18. |
Allah menerangkan
(kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan
(seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang
yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 19. |
Sesungguhnya
ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai
ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka
pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata
kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa
yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah
Amat segera hitungan hisabNya.
|
| 20. |
Oleh sebab
itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad),
maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga
orang-orang yang mengikutku". Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang "Ummi" (orang-orang
musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku
bawa itu)?" Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka
telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima
Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam
itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.
|
| 21. |
Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh
Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang
menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan
mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 22. |
Mereka
itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,
dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
|
| 23. |
Tidakkah
engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi)
yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada
Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara
yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling
ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).
|
| 24. |
Yang demikian
ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-kali
akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh
dihitung". Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh
dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
|
| 25. |
Oleh itu,
bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari
(kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan
kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka
masing-masing tidak akan dianiaya.
|