|
| 26. |
Dan sekalian
makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing
tetap tunduk kepada hukum peraturanNya. |
| 27. |
Dan Dia lah
yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya
(hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah
mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di
bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. |
| 28. |
Ia mengemukakan
kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu:
Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki
itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan
kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi
sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta
benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani
(berbuat demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu - yang
setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan
satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya. |
| 29. |
Orang-orang
yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan
syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat
memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan
bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong
melepaskan mereka dari azab. |
| 30. |
(Setelah jelas
kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu,
wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus)
ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan
bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang
perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui. |
| 31. |
Hendaklah kamu
(wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada
Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya;
dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi
dari mana-mana golongan orang musyrik - |
| 32. |
Iaitu orang-orang
yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan
masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira
dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu). |
| 33. |
Dan apabila
manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan
mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila
Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian
dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya; |
| 34. |
Dengan sebab
itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya.
Maka (dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara),
kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)". |
| 35. |
Pernahkah Kami
menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan,
lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik
itu? |
| 36. |
Dan apabila
Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga
lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang
telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. |
| 37. |
(Mengapa mereka
bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka)
bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai
cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya
(sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya
hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan
kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. |
| 38. |
Maka (bagi
menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin
serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian
adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan
mereka itulah orang-orang yang berjaya. |
| 39. |
Dan (ketahuilah
bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah
kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan
kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu
pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan
Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang
beroleh pahala berganda-ganda. |
| 40. |
Allah jualah
yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu
Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara
makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat
berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi
keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya). |
| 41. |
Telah timbul
berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa
yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana
Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan
buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). |
| 42. |
Katakanlah:
"Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan
orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka
adalah orang-orang musyrik". |
| 43. |
(Jika demikian
keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah ugama yang
betul, sebelum datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada
hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan). |
| 44. |
Sesiapa yang
kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu,
dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah
orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing; |
| 45. |
Kerana Allah
akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya.
Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar. |
| 46. |
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin
sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit
dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya,
dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya
supaya kamu bersyukur. |
| 47. |
Dan demi sesungguhnya,
Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum
masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan
yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah
(mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong
orang-orang yang beriman. |
| 48. |
Allah jualah
yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah
menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya
berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya.
Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya
dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira; |
| 49. |
Dan sesungguhnya
mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang
yang telah berputus asa. |
| 50. |
Maka lihatlah
olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi
sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya
Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang
yang telah mati. Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. |