|
| 1. |
Alif, Laam,
Miim.
|
| 2. |
Orang-orang
Rom telah dikalahkan -
|
| 3. |
Di negeri
yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan
lawannya -
|
| 4. |
Dalam masa
tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala
urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya
(kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
|
| 5. |
Dengan
kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
|
| 6. |
Demikian
dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
|
| 7. |
Mereka
hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja,
dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
|
| 8. |
Patutkah
mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan
dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu
melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya
yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya
banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan
dengan Tuhannya.
|
| 9. |
Tidakkah
mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana
kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih
kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta
memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan
orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa
keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan
kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak
sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
|
| 10. |
Sesudah
dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu
ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan
ayat-ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.
|
| 11. |
Allah memulakan
kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada
hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima
balasan).
|
| 12. |
Dan semasa
berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan dia membisu serta
berputus asa.
|
| 13. |
Dan makhluk-makhluk
yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah itu tidak ada satupun daripadanya
pemberi syafaat melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal mereka berlaku
kufur di dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka sekutukan
(dengan Allah) itu.
|
| 14. |
Dan semasa
berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan
(setelah selesai perbicaraan).
|
| 15. |
Adapun
kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan
di taman Syurga dalam keadaan bersuka ria.
|
| 16. |
Dan sebaliknya
kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran)
serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada
dalam azab seksa selama-lamanya.
|
| 17. |
(Setelah
kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu
berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.
|
| 18. |
Serta pujilah
Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit
dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu
petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.
|
| 19. |
Ia mengeluarkan
sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati
dari sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian
itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).
|
| 20. |
Dan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula),
bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat
kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.
|
| 21. |
Dan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa
Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis
kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan
dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas
kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan
(yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
|
| 22. |
Dan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah
kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang
yang berpengetahuan.
|
| 23. |
Dan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah
tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari
rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan
yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu
mendengar (nasihat pengajaran).
|
| 24. |
Dan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan
kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan
(dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan
bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi
keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.
|
| 25. |
Dan di
antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya,
ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan
perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan
satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta
merta keluar (dari kubur masing-masing).
|