|
| 51. |
(Patutkah
mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka
bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka?
Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan
bagi orang-orang yang beriman.
|
| 52. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Cukuplah Allah menjadi saksi (yang mengetahui perkara
yang berbangkit) antaraku dengan kamu; Ia mengetahui segala yang ada di
langit dan di bumi. Dan mereka yang percaya kepada perkara yang salah dan
tidak percaya kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang rugi.
|
| 53. |
Dan mereka
meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab (yang dijanjikan); dan kalau
tidaklah kerana adanya tempoh yang telah ditetapkan, tentulah azab itu
akan datang menimpa mereka; dan azab itu tetap akan datang menimpa mereka
secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya.
|
| 54. |
Mereka
meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab itu, padahal sesungguhnya
neraka Jahannam tetap akan meliputi orang-orang yang kafir -
|
| 55. |
Pada hari
azab itu menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki
mereka; dan (malaikat yang melakukannya) akan berkata kepada mereka: "Rasalah
kamu (balasan) apa yang kamu telah kerjakan".
|
| 56. |
Wahai hamba-hambaKu
yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat);
oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu
ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu.
|
| 57. |
Tiap-tiap
diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Kami (untuk menerima balasan).
|
| 58. |
Dan orang-orang
yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai
di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya.
Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh
-
|
| 59. |
(Iaitu)
mereka yang sabar, dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.
|
| 60. |
Dan (ingatlah)
berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah
yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 61. |
Dan sesungguhnya
jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:
"Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari
dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab:
"Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya
daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?
|
| 62. |
Allah memewahkan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan
(rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.
|
| 63. |
Dan sesungguhnya
jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:
"Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya
tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab:
"Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur
disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak
memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).
|
| 64. |
Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya,
jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan
dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang
sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka
tidak akan melupakan hari akhirat).
|
| 65. |
Dalam pada
itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut),
mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya.
Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku
syirik kepadaNya.
|
| 66. |
(Akibat
syirik itu) menjadilah mereka orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami
telah berikan kepadanya, dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka
ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang
mereka lakukan.
|
| 67. |
Dan tidakkah
mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri
mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai
yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik
(untuk ditawan atau dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada
perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?
|
| 68. |
Dan tidaklah
ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang
dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu
disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam
disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?
|
| 69. |
Dan orang-orang
yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama
Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang
menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya
(pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.
|