|
| 51. |
Dan demi
sesungguhnya Kami telah hubungkan turunnya firman-firman Kami (Al-Quran)
dengan berturut-turut kepada mereka, supaya mereka beroleh peringatan (lalu
beriman).
|
| 52. |
Orang-orang
yang Kami beri Kitab sebelum turunnya Al-Quran, mereka beriman kepadanya.
|
| 53. |
Dan apabila
Al-Quran itu dibacakan kepada mereka; mereka, berkata: "Kami beriman kepadanya,
sesungguhnya ia adalah perkara yang betul benar dari Tuhan kami; sesungguhnya
kami sebelum ia diturunkan, telahpun mematuhinya ".
|
| 54. |
Mereka
itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga
kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan mereka menderma dari
apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
|
| 55. |
Dan apabila
mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil
berkata: "Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggalah
kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil".
|
| 56. |
Sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada
sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah
yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui
akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk
(kepada memeluk Islam).
|
| 57. |
Dan mereka
(yang kafir) berkata: "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau
bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri
kami (oleh golongan yang menentang)". Mengapa mereka (berkata demikian)?
Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat
tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil
tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar,
Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan
perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).
|
| 58. |
Dan berapa
banyak Kami binasakan negeri-negeri yang penduduknya telah berlaku sombong
dan tidak bersyukur dalam kehidupannya (yang serba mewah dan senang lenang).
Maka itulah dia tempat-tempat tinggal mereka terbiar tidak didiami orang
sesudah mereka (dibinasakan), kecuali sedikit sahaja dan sesungguhnya Kamilah
yang mewarisi mereka.
|
| 59. |
Dan tidaklah
menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus
ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya
ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan
mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.
|
| 60. |
Dan apa
jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah
ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu,
apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang
beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu
tidak mahu memahaminya?
|
| 61. |
(Jika sudah
diketahui yang demikian) maka adakah orang yang Kami janjikan kepadanya
janji yang baik (balasan Syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang
yang kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada
hari kiamat termasuk dalam golongan yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?
|
| 62. |
Dan pada
hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya:" Mana dia sekutu-sekutuKu,
yang kamu anggap mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?"
|
| 63. |
Mereka
yang berhak menerima hukuman (azab neraka) berkata: "Wahai Tuhan kami,
inilah mereka yang kami menyebabkan kesesatannya, kami menyebabkan mereka
sesat (dengan pilihan mereka sendiri) sebagaimana kami telah sesat (dengan
pilihan kami sendiri); (dengan ini) kami mengakui kepadaMu bahawa kami
berlepas diri (dari kekufuran mereka). Bukanlah Kami yang mereka puja dan
taati, (bahkan mereka hanya memuja dan mentaati hawa nafsu mereka sendiri)".
|
| 64. |
Dan dikatakan
(kepada mereka): Panggilah makhluk-makhluk dan benda-benda yang kamu jadikan
sekutu Allah (untuk menolong kamu)". lalu mereka memanggilnya, tetapi makhluk-makhluk
dan benda-benda itu tidak menyahut panggilan mereka; dan mereka tetap melihat
azab (dengan merasa sesal) serta bercita-cita kalaulah mereka di dunia
dahulu menurut petunjuk.
|
| 65. |
Dan pada
hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: "Apa jawab kamu kepada
Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?
|
| 66. |
Maka gelaplah
kepada mereka, pada hari itu, segala khabar berita dan peristiwa (yang
telah lalu), serta menjadilah mereka tidak dapat hendak bertanya-tanyaan
sesama sendiri.
|
| 67. |
(Demikianlah
akibat orang-orang derhaka), adapun orang yang bertaubat dan beriman serta
beramal soleh, maka semoga akan menjadilah ia dari orang-orang yang berjaya.
|
| 68. |
Dan Tuhanmu
menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih
(satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan);
tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari
pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa
yang mereka sekutukan denganNya.
|
| 69. |
Dan Tuhanmu
mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka
zahirkan.
|
| 70. |
Dan Dia
lah Allah tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji tertentu bagiNya, di dunia
dan di akhirat; dan hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepadaNyalah
kamu semua dikembalikan.
|
| 71. |
Katakanlah:
"Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya
hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat
membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu
mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?"
|
| 72. |
katakanlah
lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap
selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari
Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya?
Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan
kekuasaan Allah)?"
|
| 73. |
Dan di
antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih
berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki
dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.
|
| 74. |
Dan (ingatlah)
pada hari (kiamat), Allah akan menyeru mereka lalu bertanya: "Mana dia
sekutu-sekutuKu yang kamu sifatkan mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan
pertolongan)?"
|
| 75. |
Dan (pada
hari itu) Kami keluarkan dari tiap-tiap umat seorang saksi, lalu Kami katakan
(kepada golongan yang kafir): "Bawalah keterangan dan bukti kebenaran kamu".
Maka (pada saat itu) ketahuilah mereka bahawa kebenaran (hak ketuhanan)
itu tertentu bagi Allah, dan (dengan itu), hilang lenyaplah dari mereka
apa yang mereka ada-adakan secara dusta dahulu.
|