|
| 1. |
Maha berkat
Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi
peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
|
| 2. |
Tuhan yang
menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak,
serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah
yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk
itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.
|
| 3. |
Dan mereka
(yang kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan,
yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan
(oleh penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan benda-benda
itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah
untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan,
atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.
|
| 4. |
Dan orang-orang
yang kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang
direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain".
Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu
tuduhan yang zalim dan dusta.
|
| 5. |
Dan mereka
berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu
kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang
ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)".
|
| 6. |
Katakanlah
(Wahai Muhammad): "Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala
rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
|
| 7. |
Dan mereka
pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar
(seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya,
supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya
(sebagai saksi yang membenarkannya).
|
| 8. |
"Atau diberikan
perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk
ia makan hasilnya". Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada
orang-orang yang beriman): "Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang
tidak siuman".
|
| 9. |
Lihatlah
(Wahai Muhammad) bagaimana mereka membuat untukmu berbagai misal perbandingan
(yang bukan-bukan), dengan sebab itu sesatlah mereka, sehingga mereka tidak
mendapat jalan petunjuk.
|
| 10. |
Maha Berkat
Tuhan yang jika Ia kehendaki tentulah Ia akan mengadakan untukmu (di dunia
ini) sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka katakan itu, iaitu syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta mengadakan untukmu istana-istana
(yang tersergam indah).
|
| 11. |
(Mereka
bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat;
dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu,
api yang menjulang-julang.
|
| 12. |
Apabila
neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara
marahnya yang menggelegak dan mengeluh.
|
| 13. |
Dan apabila
mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan
mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan
(yang melepaskan dari azab itu).
|
| 14. |
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis
kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana
azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)".
|
| 15. |
Bertanyalah
(kepada mereka): "Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik
atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?"
Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.
|
| 16. |
Mereka
beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal
di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh
Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).
|
| 17. |
Dan (ingatkanlah)
hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka
sembah yang lain dari Allah, lalu Ia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang
telah dipuja dan disembah itu): "Kamukah yang menyesatkan hamba-hambaKu
itu atau mereka yang sesat jalan?"
|
| 18. |
Mereka
menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut
bagi kami mengambil sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung
yang disembah (dan tidak patut juga kami menyeru orang menyembah kami);
tetapi engkau (wahai Tuhan kami) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka
dan kepada datuk neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan ajaran ugamaMu,
dan menjadilah mereka kaum yang binasa".
|
| 19. |
Maka (dikatakan
pula kepada golongan itu): "Sesungguhnya mereka (yang kamu puja dan sembah)
itu telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan kamu).
Oleh itu, kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh
sebarang pertolongan". Dan sesiapa yang berlaku zalim di antara kamu (wahai
umat manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan merasakannya azab
seksa yang besar.
|
| 20. |
Dan Kami tidak
mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang
tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian
dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata
adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah
Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya). |
| 21. |
Dan berkatalah
pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: "Mengapa tidak diturunkan
malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?" Demi sesungguhnya,
mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah
melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.
|
| 22. |
(Ingatkanlah)
hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira
bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata:
"Semoga kita jauh - dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)".
|
| 23. |
Dan Kami
tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal
(yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu
yang berterbangan.
|
| 24. |
Ahli-ahli
Syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat
rehatnya.
|
| 25. |
Dan (sebutkanlah
perihal) hari segala langit pecah-belah (disertakan) dengan kumpulan awan
(yang berisi malaikat), dan (pada hari yang tersebut) diturunkan malaikat
itu dengan cara berpasuk-pasukan.
|