|
| 51. |
Sesungguhnya
perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak
ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan
sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami
taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
|
| 52. |
Dan sesiapa
yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah
serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah
orang-orang yang beroleh kemenangan.
|
| 53. |
Dan mereka
(yang munafik) bersumpah dengan nama Allah, dengan sebebar-benar sumpahnya:
bahawa jika engkau (wahai Muhammad) perintahkan mereka (keluar berjihad),
tentulah mereka akan keluar. Katakanlah: " Janganlah kamu bersumpah, (taat
kamu itu) taat yang terkenal (dustanya). Sesungguhnya Allah Amat Mendalam
pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan".
|
| 54. |
Katakanlah
lagi (kepada mereka): " Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul
Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya
Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya,
dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. Dan
jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya)
Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah
dengan penjelasan yang terang nyata".
|
| 55. |
Allah menjanjikan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat
Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang
kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang
yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan
dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk
mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka
mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu
dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah)
sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang
derhaka.
|
| 56. |
Dan dirikanlah
kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul
Allah; supaya kamu beroleh rahmat.
|
| 57. |
Janganlah
engkau menyangka orang-orang kafir itu akan dapat melemahkan kekuasaan
Allah (daripada menimpakan azab kepada mereka) di dunia, sedang tempat
kembali mereka ialah neraka; dan sesungguhnya neraka itu adalah seburuk-buruk
tempat kembali.
|
| 58. |
Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh
dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu),
dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka
pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah
tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan
mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana
mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing
sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah
menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya);
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 59. |
Dan apabila
kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta
izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut
dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
|
| 60. |
Dan mana-mana
perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan
berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya,
dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan
mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya
itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
|
| 61. |

Tidak ada
salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan
tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan
sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian),
dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut
turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau
di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah
saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa),
atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara
kamu (sebelah ibu), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau
di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga
menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila
kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa
yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi
baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya),
supaya kamu memahaminya.
|
| 62. |
Sesungguhnya
orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada
Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah
dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka
meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya.
Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah
orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta
izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah
bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun
kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
|
| 63. |
Janganlah
kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan
atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di
antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung
dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya,
beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 64. |
Ketahuilah!
Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan
di bumi. Sesungguhnya Ia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai
umat manusia); dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Ia
akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu.
|