|
| 26. |
(Lazimnya)
perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan
lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya)
perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki
yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah
bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat);
mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan
yang mulia.
|
| 27. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan
rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam
kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu
beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).
|
| 28. |
Maka sekiranya
kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah
masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan
kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian
adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan
apa yang kamu lakukan.
|
| 29. |
Tidaklah
menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah
yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah)
Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
|
| 30. |
Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat
Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
|
| 31. |

Dan katakanlah
kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan
tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua
mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara
mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam,
atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah
tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum
mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan
kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka;
dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman,
supaya kamu berjaya.
|
| 32. |
Dan kahwinkanlah
orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang
yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin,
Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana
Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
|
| 33. |
Dan orang-orang
yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya
sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan
hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian
untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah
kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada
sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian);
dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada
kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan
diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan
kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya
Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|
| 34. |
Dan sesungguhnya,
Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan
(hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah
dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran
bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
|
| 35. |
Allah yang
menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab
Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu;
lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang)
laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak
dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja
disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi
ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan
sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia
tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah
sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur
hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan
untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 36. |
(Nur hidayah
petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah
ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut
serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci
dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.
|
| 37. |
(Ibadat
itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan
oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah,
dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat)
yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
|
| 38. |
(Mereka
mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik
balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah
kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya
dengan tidak terhitung.
|
| 39. |
Dan orang-orang
yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah
rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya)
sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang
disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah
dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum
Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta
membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.
|
| 40. |
Atau (orang-orang
kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita
di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah
atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis
- apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama
sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang
peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh
sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).
|
| 41. |
Tidakkah
engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa
bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta
burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui
(menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada
Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
|
| 42. |
Dan bagi
Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan kepada Allah sahaja
tempat kembali (sekalian makhluk).
|
| 43. |
Tidakkah
engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan,
kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya
tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya.
Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan)
yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran
kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir
menyambar dan menghilangkan pandangan.
|
| 44. |
Allah menukarkan
malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi
pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya
berfikir.
|
| 45. |
Dan Allah
menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian
di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan
dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah
menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 46. |
Demi sesungguhnya,
Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan
berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa
yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.
|
| 47. |
Dan (di
antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah)
mereka yang berkata: "Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta
kami taat"; kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah
Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah
mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman.
|
| 48. |
Dan (bukti
berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan
Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka,
maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan
itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).
|
| 49. |
Dan (sebaliknya)
jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya
dengan tunduk taat (menerima hukumnya).
|
| 50. |
(Mengapa
mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit
(kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun
kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada
mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan
merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran
mereka).
|