|
| 1. |
Ini ialah
satu "surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta
Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat
(mengamalkannya).
|
| 2. |
Perempuan
yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang
dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan
belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika
benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan
hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang
yang beriman.
|
| 3. |
Lelaki
yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan
yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula
(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina
atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada
orang-orang yang beriman.
|
| 4. |
Dan orang-orang
yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya,
kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka
delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka
itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
|
| 5. |
Kecuali
orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut)
serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
|
| 6. |
Dan orang-orang
yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang
mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah
pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan
nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar;
-
|
| 7. |
Dan sumpah
yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya
jika ia dari orang-orang yang dusta.
|
| 8. |
Dan bagi
menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah
ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh)
itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; -
|
| 9. |
Dan sumpah
yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa
dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.
|
| 10. |
Dan kalaulah
tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan
juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha
Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).
|
| 11. |
Sesungguhnya
orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari
kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi
kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan
beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang
yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan
beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
|
| 12. |
Sepatutnya
semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan
perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri.
dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
|
| 13. |
Sepatutnya
mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu.
Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu
pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
|
| 14. |
Dan kalaulah
tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia
dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan
kamu turut campur dalam berita palsu itu; -
|
| 15. |
Iaitu semasa
kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan
memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai
pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil,
pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
|
| 16. |
Dan sepatutnya
semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami
memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama
baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".
|
| 17. |
Allah memberi
pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian
ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
|
| 18. |
Dan Allah
menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 19. |
Sesungguhnya
orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan
orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala
perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
|
| 20. |
Dan kalaulah
tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan
juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya,
(tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).
|
| 21. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa
yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa
menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan
yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya
kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih
dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah
Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui
|
| 22. |
Dan janganlah
orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah
tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin
serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah
mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu
suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani.
|
| 23. |
Sesungguhnya
orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya,
yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman,
akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan
beroleh azab seksa yang besar;
|
| 24. |
Pada hari
lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap
diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.
|
| 25. |
Pada hari
itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak
mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah
Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.
|