|
| 51. |
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan
Kami, mereka itulah ahli neraka.
|
| 52. |
Dan tidaklah
Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila
ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya),
maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi
itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang
telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan
kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 53. |
(Yang demikian)
kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah
cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka,
dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu
sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.
|
| 54. |
Dan juga
supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan
itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk
taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin
orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
|
| 55. |
Dan orang-orang
kafir tetap di dalam keraguan terhadap Al-Quran hingga datang kepada mereka
saat kiamat secara mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang tidak
ada kebaikan untuk mereka.
|
| 56. |
Kuasa pemerintahan
pada hari kiamat itu tertentu bagi Allah. Ia akan menghukum di antara mereka.
Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga
yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan;
|
| 57. |
Dan orang-orang
yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh
azab seksa yang menghina.
|
| 58. |
Dan orang-orang
yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah
tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan
(ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
|
| 59. |
Sudah tentu
Allah akan memasukkan mereka (yang tersebut itu) ke tempat yang mereka
sukai (Syurga), dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
|
| 60. |
Demikianlah
(janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas
kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya
lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah)
sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
|
| 61. |
(Pertolongan
yang dijanjikan Allah tetap berlaku) kerana Allah berkuasa menukar gantikan
sesuatu keadaan sebagaimana kuasaNya memasukkan malam pada siang dan memasukkan
siang pada malam (silih berganti); dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Melihat.
|
| 62. |
Bersifatnya
Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya
Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang
mereka sembah selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
(kekuasaanNya)
|
| 63. |
Tidakkah
engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah
bumi ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta
lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan
hal-ehwal sekalian makhlukNya).
|
| 64. |
Segala
yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah,
Dia lah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
|
| 65. |
Tidakkah
engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk
kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan
perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali
dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya
kepada umat manusia.
|
| 66. |
Dan Dia
lah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan
kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.
|
| 67. |
Bagi tiap-tiap
umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan,
maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu;
dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana
sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
|
| 68. |
Dan jika
mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui
akan apa yang kamu lakukan.
|
| 69. |
"Allah
akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang
kamu berselisihan padanya".
|
| 70. |
Bukankah
engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di
langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam
Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.
|
| 71. |
Dan mereka
menyembah yang lain dari Allah iaitu benda-benda yang Allah tidak menurunkan
sebarang keterangan membenarkannya, dan yang mereka tidak mempunyai sebarang
pengetahuan mengenainya dan (ingatlah) tiadalah bagi orang-orang yang zalim
(dengan perbuatan syirik) itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan
(di dunia dan di akhirat).
|
| 72. |
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan dapat
melihat pada muka orang-orang yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir-hampir
mereka hendak menerkam dan menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat
Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian, mahukah,
aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi daripada apa yang telah
menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh
Allah kepada orang-orang yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali!
"
|
| 73. |
Wahai umat
manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya
dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah,
yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor
lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika
lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya
balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari
mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).
|
| 74. |
Mereka
(yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang
selayaknya (sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah
Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
|
| 75. |
Allah memilih
utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|