|
| 26. |
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk
membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan
sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang
yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud
(mengerjakan sembahyang).
|
| 27. |
"Dan serukanlah
umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang
ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis
unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang
jauh.
|
| 28. |
"Supaya
mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka
serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu,
kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk
dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang
korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
|
| 29. |
"Kemudian
hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan
nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang
tua sejarahnya itu".
|
| 30. |
Itulah
yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka
yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan
bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu
(tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh
penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, -
|
| 31. |
(Amalkanlah
perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan
sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain
dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh
burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
|
| 32. |
Demikianlah
(ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka
(dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan
dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
|
| 33. |
Kamu beroleh
berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu
masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya
ketika sampai di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.
|
| 34. |
Dan bagi
tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya)
supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya
kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan
kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya;
dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang
tunduk taat -
|
| 35. |
Iaitu orang-orang
yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang
yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang
yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian
dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.
|
| 36. |
Dan Kami
jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian
dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut
ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya)
ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus
nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang
lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah
Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu
bersyukur.
|
| 37. |
Daging
dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai
kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang
berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang
itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya.
Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada
orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
|
| 38. |
Sesungguhnya
Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.
|
| 39. |
Diizinkan
berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh),
kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat
Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
|
| 40. |
Iaitu mereka
yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan
yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami
ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang
pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan
serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum
Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama
Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa
yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi
Maha Kuasa; -
|
| 41. |
Iaitu mereka
(umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi
nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh
berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang
mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
|
| 42. |
Dan jika
mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian
tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan
Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan
Rasul masing-masing;
|
| 43. |
Dan (demikian
juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
|
| 44. |
Dan juga
penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi
tempoh kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan
azab seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan
kemurkaanKu.
|
| 45. |
Maka bukan
sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya,
lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga
yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).
|
| 46. |
Oleh itu,
bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat
kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang
dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka
dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna)
kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang
buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
|
| 47. |
Dan mereka
meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal
Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada
mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah
menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.
|
| 48. |
Dan bukan
sedikit negeri-negeri yang Aku beri tempoh, sedang penduduknya berlaku
zalim; kemudian Aku menimpakannya dengan azab seksa; dan (ingatlah) kepada
Akulah tempat kembali.
|
| 49. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia, aku tidak lain hanyalah seorang
Rasul pemberi amaran yang menjelaskan keterangan-keterangan kepada kamu".
|
| 50. |
Maka orang-orang
yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia
yang mulia.
|