|
| 76. |
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi
yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan
dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.
|
| 77. |
Dan Kami
membelanya dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya
adalah mereka kaum yang jahat; lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (sehingga
mati lemas dengan taufan).
|
| 78. |
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum
mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada
waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman
mereka.
|
| 79. |
Maka Kami
beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan
masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan
ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami
bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya
itu.
|
| 80. |
Dan Kami
mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan
kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?
|
| 81. |
Dan (Kami
mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut
kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami
mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 82. |
Dan (Kami
mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta
melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka
(daripada melanggar perintahnya).
|
| 83. |
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
"Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih
mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
|
| 84. |
Maka Kami
perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya,
serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya,
sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang
yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
|
| 85. |
Dan (demikianlah
pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari
orang-orang yang sabar.
|
| 86. |
Dan Kami
masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya
mereka adalah dari orang-orang yang soleh.
|
| 87. |
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan
marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya
kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka
ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya
tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci
Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku
adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
|
| 88. |
Maka Kami
kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang
menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan
orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
|
| 89. |
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak
meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".
|
| 90. |
Maka Kami
perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami
perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya.
(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya
mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa
berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula
sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.
|
| 91. |
Dan (sebutkanlah
peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu
Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan
anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat
manusia.
|
| 92. |
Sesungguhnya
ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah
Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.
|
| 93. |
(Kebanyakan
manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan ugama mereka;
(ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada kami (untuk menerima balasan).
|
| 94. |
Dengan
yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia
beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami
tetap menulisnya.
|
| 95. |
Dan mustahil
kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak
akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak).
|
| 96. |
(Demikianlah
keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan
Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
|
| 97. |
Dan hampirlah
datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan
mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas):
"Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang
melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi
orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
|
| 98. |
Sesungguhnya
kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan
bakaran yang dilimparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan
memasukinya. |
| 99. |
Kalaulah
mereka (yang kamu sembah) itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk
ke dalam neraka; dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah dan yang disembah)
akan kekal dalam neraka selama-lamanya.
|
| 100. |
Mereka
mendayu-dayu (kesakitan) di dalam neraka, dan mereka pula di situ tidak
dapat mendengar sesuatu yang menyenangkan.
|