|
| 26. |
Dan mereka
(yang musyrik) berkata: "(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak". Maha Sucilah
Ia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya
yang dimuliakan.
|
| 27. |
Mereka
tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang
diperintahkanNya.
|
| 28. |
Allah mengetahui
apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di
belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat
melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas
takut daripada ditimpa azabNya.
|
| 29. |
Dan (jika
ada) sesiapa di antara mereka berkata: "Sesungguhnya aku ialah tuhan selain
dari Allah", maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya dengan
(azab) neraka jahannam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
|
| 30. |
Dan tidakkah
orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit
dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu
Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda
yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
|
| 31. |
Dan Kami
telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu
tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan
lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani
dan jasmani.
|
| 32. |
Dan Kami
telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal,
sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda
(kekuasaan Kami) yang ada padanya.
|
| 33. |
Dan Dia
lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan;
tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing
(di angkasa lepas).
|
| 34. |
Dan Kami
tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia
ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka
akan hidup selama-lamanya?
|
| 35. |
Tiap-tiap
diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan
sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
|
| 36. |
Dan apabila
orang-orang kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara yang
engkau sampaikan itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama
sendiri: "Inikah dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu?" (Mereka berkata
demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada Al-Quran yang mengandungi
peringatan Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
|
| 37. |
Jenis manusia
dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan
kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan
(kedatangannya).
|
| 38. |
Dan (kerana
tabiat terburu-burunya) mereka berkata: "Bilakah berlakunya janji azab
itu, jika betul kamu orang-orang yang berkata benar?".
|
| 39. |
Kalaulah
orang-orang kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika mereka
tidak dapat menahan atau mengelakkan api neraka dari muka dan belakang
mereka, dan mereka pula tidak diberi pertolongan, (tentulah mereka segera
beriman, dan tidak berkata demikian).
|
| 40. |
(Mereka
tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang
kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka
tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat.
|
| 41. |
Dan demi
sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang
yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang
mereka telah perolok-olokkan itu.
|
| 42. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu pada malam
dan siang daripada azab Tuhan yang bersifat Maha Pemurah?" (Mereka tidak
memikirkan yang demikian) bahkan mereka tetap berpaling ingkar dari pengajaran
Tuhan mereka.
|
| 43. |
Tidak ada
bagi mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi mereka dari azab Kami. Mereka
yang dipertuhankan itu tidak dapat menolong dirinya sendiri, dan tidak
pula mereka dibantu dengan pertolongan dari pihak Kami.
|
| 44. |
(Bukan
benda-benda yang dipertuhankan itu yang memberi kesenangan kepada mereka)
bahkan Kami biarkan mereka dan datuk-nenek mereka menikmati (kesenangan
hidup) hingga berlanjutanlah umur mereka (dalam keadaan yang menyebabkan
berlaku perkara yang tidak diingini mereka). Maka tidakkah mereka melihat
bahawa kami datangi daerah bumi yang mereka kuasai dengan menguranginya
sedikit demi sedikit dari sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka
adakah mereka yang akan menang?
|
| 45. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada kamu
dengan wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu
orang-orang yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi
amaran, (maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan amatlah berat).
|
| 46. |
Dan demi
sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit sahaja dari azab Tuhanmu,
sudah tentu mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami! Sebenarnya kami
adalah orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)!"
|
| 47. |
Dan (ingatlah)
Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk
pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun;
dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan
mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai
Penghitung.
|
| 48. |
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Kitab
(Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang
menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi
orang-orang yang mahu bertaqwa.
|
| 49. |
Iaitu mereka
yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat
orang, dan mereka pula gerun cemas akan (peristiwa-peristiwa yang mengerikan
pada) hari kiamat.
|
| 50. |
Dan Al-Quran
ini juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad);
dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?
|