|
| 1. |
Telah hampir
datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian,
tidak hiraukan persediaan baginya.
|
| 2. |
Tidak datang
kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka
lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil
mereka mempermain-mainkannya -
|
| 3. |
Dengan
keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan
orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata:
"Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka
patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu
nampak dan mengetahui karutnya?"
|
| 4. |
(Bagi menjawab
mereka, Nabi Muhammad) berkata: "Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan
(yang dilahirkan atau disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan
di bumi; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
|
| 5. |
(Mereka
bukan sahaja menyifatkan Al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan
berkata: "Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan
perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair.
(Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) maka hendaklah ia membawa kepada
kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul
yang telah diutus dahulu".
|
| 6. |
Tidak ada
penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang telah
beriman kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang
meminta mukjizat itu mahu beriman?
|
| 7. |
Dan Kami
tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang
lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah
kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui.
|
| 8. |
Dan Kami
tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum,
dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia).
|
| 9. |
Kemudian
Kami tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka dan sesiapa
yang Kami kehendaki, dan (sebaliknya) Kami binasakan orang-orang yang melampaui
batas.
|
| 10. |
Sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi
perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa
kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?
|
| 11. |
Dan berapa
banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan
kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai
gantinya.
|
| 12. |
Maka ketika
mereka merasai (kedatangan) azab Kami, mereka dengan serta-merta lari keluar
dari negeri itu.
|
| 13. |
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Janganlah kamu lari, dan sebaliknya kembalilah kepada
kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat
tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya mengenai apa yang berlaku".
|
| 14. |
(Akhirnya)
mereka berkata: "Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang
yang berlaku zalim!"
|
| 15. |
Maka demikianlah
seterusnya jeritan dan keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur
lebur dan sunyi-sepi.
|
| 16. |
Dan (ingatlah)
tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya,
secara main-main.
|
| 17. |
Sekiranya
Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya
dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya.
|
| 18. |
Bahkan
Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya,
maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan
akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).
|
| 19. |
Dan (ingatlah)
segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua;
dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak
enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat
dan letih.
|
| 20. |
Mereka
beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.
|
| 21. |
Adakah
benda-benda dari bumi yang mereka jadikan tuhan-tuhan itu, dapat menghidupkan
semula sesuatu yang mati?
|
| 22. |
Kalau ada
di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah
pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan):
Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
|
| 23. |
Ia tidak
boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya
kelak.
|
| 24. |
Patutkah
mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad):
"Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan
dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang
dahulu daripadaku". (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan)
bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang
salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.
|
| 25. |
Dan Kami
tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan
Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".
|