|
| 51. |
Firaun
bertanya lagi: "Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah
lalu?"
|
| 52. |
Nabi Musa
menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam
sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".
|
| 53. |
(Dia lah
Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah
mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah
menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis
tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.
|
| 54. |
Makanlah
kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah,
bagi orang-orang yang berakal fikiran.
|
| 55. |
Dari bumilah
Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya
pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
|
| 56. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang
membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.
|
| 57. |
Firaun
berkata: "Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari
negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?
|
| 58. |
"Kalau
demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti
itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami
denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang
sesuai bagi kedua belah pihak".
|
| 59. |
Nabi Musa
menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan,
dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".
|
| 60. |
Maka Firaun
pun berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan
tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat perlawanan.
|
| 61. |
Nabi Musa
berkata kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara
dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu
dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan
kecewa".
|
| 62. |
Maka merekapun
berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka,
dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
|
| 63. |
Mereka
berkata: "Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak
mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan
kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.
|
| 64. |
"Oleh itu,
satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam
satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang
menang pada hari ini".
|
| 65. |
Mereka
berkata: "Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah
yang mula-mula mencampak?"
|
| 66. |
Nabi Musa
menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan
tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda
berjalan, disebabkan sihir mereka.
|
| 67. |
Maka yang
demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
|
| 68. |
Kami berfirman
kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah
yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.
|
| 69. |
"Dan campakkanlah
apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda
sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan
itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh
kejayaan, di mana sahaja ia berada".
|
| 70. |
(Nabi Musa
pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka),
maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan
diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi
Harun dan Nabi Musa".
|
| 71. |
Firaun
berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada
kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu.
Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan
bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan
demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang
lebih keras azab seksanya dan lebih kekal".
|
| 72. |
Mereka
menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang
telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan
(tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua.
Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya
engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
|
| 73. |
"Sesungguhnya
kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan
kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah
jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.
|
| 74. |
"Sebenarnya
sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah
maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di
dalamnya dan tidak pula hidup.
|
| 75. |
"Dan sesiapa
yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal
yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi
darjatnya:
|