|
| 276. |
Allah susutkan
(kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan
(berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah
tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan
selalu melakukan dosa.
|
| 277. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang
serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan
tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
|
| 278. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut
lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika
benar kamu orang-orang yang beriman.
|
| 279. |
Oleh itu,
kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu),
maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya
kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang
sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak
berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
|
| 280. |
Dan jika
orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah
tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan
hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui
(pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).
|
| 281. |
Dan peliharalah
diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan
kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut
apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya
sedikitpun.
|
| 282. |

Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang
yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu
menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis
di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis
enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah
ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat
hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya,
dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika
orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak
merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan
adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari
kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah,
seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui
menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan
yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan
saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah
kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil
atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih
membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada
tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan
tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak
menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah
mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan
(apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan
fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada
Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan
Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 283. |
Dan jika
kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang
bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan
barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian
kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah
bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang)
yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya,
dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai
orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan
itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang
yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa
yang kamu kerjakan.
|
| 284. |
Segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika
kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya,
nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia
mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 285. |
Rasulullah
telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga
orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya,
dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan
antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami
dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan
kepadaMu jualah tempat kembali".
|
| 286. |
Allah tidak
memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala
kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan
kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana
yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak
terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa
kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu,
tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
|