|
| 251. |
Oleh sebab
itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi
Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah
itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat
(pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah
Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya
yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan
tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
|
| 252. |
Itulah
ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad)
dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul
(yang diutuskan oleh) Allah.
|
| 253. |
Rasul-rasul
Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan
kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata
dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa
darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan
kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril).
Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian
daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah,
maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir.
Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan;
tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.
|
| 254. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada
kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan
tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan
syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.
|
| 255. |
Allah,
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang
Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk
usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya
melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka
dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu
pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu
kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit
dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara
keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha
Besar (kekuasaanNya)
|
| 256. |
Tidak ada
paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran
(Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan
Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang
kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah),
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 257. |
Allah Pelindung
(Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan
mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang
kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari
cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka
kekal di dalamnya.
|
| 258. |
Tidakkah
engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah
membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah
memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku
ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh
menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah
menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?"
Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah),
Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.
|
| 259. |

Atau (tidakkah
engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah
negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana
Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak
binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah)
selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya
kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah
tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (Tidak
benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus
tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak
berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal
tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan
engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada
tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian
Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa
yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin),
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
|
| 260. |
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah
kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah
berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim
menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang
demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)".
Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian
kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah
di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah
burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera".
Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 261. |
Bandingan
(derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah
sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap
tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan
pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya,
lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
|
| 262. |
Orang-orang
yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak
mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit
(pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi),
mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita.
|
| 263. |
(Menolak
peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan
mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan
perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah
Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
|
| 264. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan
membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala
amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk
kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah
di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya
bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang
yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun
dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada kaum yang kafir.
|
| 265. |
Dan bandingan
orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan
kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka,
adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,
lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan
lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah),
Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
|
| 266. |
Adakah
seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma)
dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai
dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai
banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan
yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan
kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil
iktibar).
|
| 267. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha
kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi
untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu
kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri
tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada
kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya
Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
|
| 268. |
Syaitan
itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan
(jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan
yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan)
keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah
Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
|
| 269. |
Allah memberikan
Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat
itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah
yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang
yang menggunakan akal fikirannya.
|
| 270. |
Dan (ketahuilah),
apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan
maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang
zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
|
| 271. |
Kalau kamu
zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah
baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan
sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin,
maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian
dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara
mendalam akan apa yang kamu lakukan.
|
| 272. |
Tidaklah
engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat
petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi
Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa
yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta
yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan
pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan
sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu
dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya)
kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
|
| 273. |
Pemberian
sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan
dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela
Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan
sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui
halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal
mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak
meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa
jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahuinya.
|
| 274. |
Orang-orang
yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan
cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,
dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap
mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
|
| 275. |
Orang-orang
yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti
berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan
(Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa
sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah
menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa
yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia
berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum
pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada
Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu)
maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
|