|
| 226. |
Kepada
orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka,
diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya),
maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 227. |
Dan jika
mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya
Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
|
| 228. |
Dan isteri-isteri
yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari
berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka
menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah
dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan
hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan)
isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak
berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan
yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya
(dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami
itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).
Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 229. |
Talak (yang
boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk
dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan
(menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil
balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri
yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat
menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa
kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah
mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri
untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).
Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan
sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang
yang zalim.
|
| 230. |
Sesudah
(diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga)
maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin
dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu
itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya)
tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka
akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan
hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.
|
| 231. |
Dan apabila
kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh
idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik
atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka
(rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan
kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya
dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat
hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat
Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada
kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada
kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 232. |
Dan apabila
kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka
janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin
semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan
itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh
Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa
di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui
(akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
|
| 233. |
Dan ibu-ibu
hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi
orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula
ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah
menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga
menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga
menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika
keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan
(yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua
tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu
menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu
serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah
kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat
akan apa jua yang kamu lakukan.
|
| 234. |
Dan orang-orang
yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri
hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat
bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka
tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya
menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
|
| 235. |
Dan tidak
ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran),
untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau
tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).
Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka,
(yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat
janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara
sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh
(hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan
ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu,
maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
|
| 236. |
Tidaklah
kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu
menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka
atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian,
hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang
diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu)
menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya,
sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan
atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
|
| 237. |
Dan jika
kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal
kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak
mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika
mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan
nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan
perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada
taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.
Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.
|
| 238. |
Peliharalah
kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang
fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana
Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
|
| 239. |
Dan jika
kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan,
kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati
Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana
Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.
|
| 240. |
Dan orang-orang
yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah
berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan,
pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh
pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat
tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai
wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan
pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu
dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 241. |
Dan isteri-isteri
yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah pemberian saguhati) dengan cara
yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.
|
| 242. |
Demikianlah
Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.
|
| 243. |
Tidakkah
engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan
diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu
ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:" Matilah kamu " kemudian
Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah
kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak
bersyukur.
|
| 244. |
Dan berperanglah
kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran ugamaNya); dan ketahuilah,
sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 245. |
Siapakah
orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman
yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan
berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan
Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
|
| 246. |
Tidakkah
engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani
lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang
Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang
(bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah
harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,"
Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah,
sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak
kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan
kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah
Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
|
| 247. |
Dan Nabi
mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut
menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa
memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu
daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka
berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu,
dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan
kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa
pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya
dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.
|
| 248. |
Dan Nabi
mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut
itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu
peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari
Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh
keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat.
Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan
bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman".
|
| 249. |
Kemudian
apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya
Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara
kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa
yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali
orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan
demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya),
kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang
yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum
(sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan
tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui
Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya
menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa)
bersama-sama orang-orang yang sabar".
|
| 250. |
Dan apabila
mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka
berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami,
dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum
yang kafir"
|