 |
| 201. |
Dan di
antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami,
berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah
kami dari azab neraka".
|
| 202. |
Mereka
itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka
usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.
|
| 203. |
Dan sebutlah
kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa
hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan
Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan
(meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu
ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah
dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.
|
| 204. |
Dan di
antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia,
menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan
mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya,
padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
|
| 205. |
Kemudian
apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk
melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan
(binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
|
| 206. |
Dan apabila
dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah kesombongannya
dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia
(menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka
jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
|
| 207. |
Dan di
antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah
semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
|
| 208. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala
hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya
Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
|
| 209. |
Maka kalau
kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan
itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka
ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 210. |
(Orang-orang
yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada
mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang
menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab
yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
|
| 211. |
Bertanyalah
kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami
berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar
nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah
nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya
Allah amat berat azab seksaNya.
|
| 212. |
Kehidupan
dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan)
orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah
kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan
imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada
hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa
yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
|
| 213. |

Pada mulanya
manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi
setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai
pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan
Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan
azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci
yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan
hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya)
tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah
diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada
mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata
kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada
orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka
(yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk
hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut
undang-undang peraturanNya).
|
| 214. |
Adakah
patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai
kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang
yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan
hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya
musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada
bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya
pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh
kepada ugama Allah).
|
| 215. |
Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan
(dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang
kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat,
dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar
dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis
kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas
dengan sebaik-baiknya).
|
| 216. |
Kamu diwajibkan
berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara
yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik
bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi
kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang
kamu tidak mengetahuinya.
|
| 217. |

Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan
yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa
besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah
dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang
Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari
situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan
(ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan
(semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir
itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari
ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa
di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam),
lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak
binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka
itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
|
| 218. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang
pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang
yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
|
| 219. |
Mereka
bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah:
"Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia
tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya
pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah:
"Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah
Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya)
supaya kamu berfikir:
|
| 220. |
Mengenai
(urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu
(wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki
keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul
dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara
kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta
benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah
menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur
gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 221. |
Dan janganlah
kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka
beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan
yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun
keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan
Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk
ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik
daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.
(Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang
Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah
menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia,
supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
|
| 222. |
Dan mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah:
"Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat".
Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh
dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu
hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila
mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan
oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak
bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
|
| 223. |
Isteri-isteri
kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman
kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik)
untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya
kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira
wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
|
| 224. |
(Dan janganlah
kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi
kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara
sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa
mengetahui.
|
| 225. |
Allah tidak
mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk
bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman)
dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan
niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
|