|
| 176. |
(Segala
balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab
dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya
orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya
mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk
hidayah Allah).
|
| 177. |
Bukanlah
perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat,
tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari
akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan
mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum
kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar
dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan
hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan
zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka
membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan,
dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan
perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang
yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga
orang-orang yang bertaqwa.
|
| 178. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang
seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka
dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.
Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya
(pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut
cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah
menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian
itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan.
Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka
baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 179. |
Dan di
dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang
yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.
|
| 180. |
Kamu diwajibkan,
apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta,
(hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara
yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang
yang bertaqwa.
|
| 181. |
Kemudian
sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya
dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 182. |
Tetapi
sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau
melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris,
dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 183. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang
yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
|
| 184. |
(Puasa
yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di
antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian
wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang
lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua
dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka
sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang
ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian)
berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu
mengetahui.
|
| 185. |
(Masa yang
diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan
yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar
dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan
anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan
itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka,
Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada
hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki
kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya
kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
|
| 186. |
Dan apabila
hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka):
sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan
permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah
mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka
beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
|
| 187. |
Dihalalkan
bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri
kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu
pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati
diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang
setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan
oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada
kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu
waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);
dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf
di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.
Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya
mereka bertaqwa.
|
| 188. |
Dan janganlah
kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan
jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi
rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian
dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
|
| 189. |
Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan.
Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan
dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan:
kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan
tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah
ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah
supaya kamu berjaya."
|
| 190. |
Dan perangilah
kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang
memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan);
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.
|
| 191. |
Dan bunuhlah
mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan
usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah
bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan
janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka
memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ),
maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.
|
| 192. |
Kemudian
jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 193. |
Dan perangilah
mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama
itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah
ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
|
| 194. |
(Mencabuli)
bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam)
bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli),
ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan
terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan
yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta
ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
|
| 195. |
Dan belanjakanlah
(apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah
kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan
bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan)
perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.
|
| 196. |

Dan sempurnakanlah
ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang
daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah
bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu
mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai
(dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat
sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah
ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam.
Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang
mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati
kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya
kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak
dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa
mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing);
semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang
yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan
hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah
Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
|
| 197. |
(Masa untuk
mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh
yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan)
ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat
maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.
Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan
hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik
bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah
kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
|
| 198. |
Tidaklah
menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan
perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun
dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan
doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah),
dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan
petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari
golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.
|
| 199. |
Selain
dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya
orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun),
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 200. |
Kemudian
apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah
kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana
kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan
sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa
dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang
ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan
di akhirat.
|