|
| 126. |
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri
Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai
jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu
itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga
ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian
Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk
tempat kembali".
|
| 127. |
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas
(tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah
yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
|
| 128. |
"Wahai
Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri)
kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah
diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat
kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat,
lagi Maha Mengasihani;
|
| 129. |
"Wahai
Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri,
yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan
mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan
(hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah
yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
|
| 130. |
Tidak ada
orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan
dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi
nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah
dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).
|
| 131. |
(Ingatlah)
ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai
Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada
Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
|
| 132. |
Dan Nabi
Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian
juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku!
Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu,
maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
|
| 133. |
(Demikianlah
wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang
Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata
kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka
menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail
dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah
diri (dengan penuh iman)".
|
| 134. |
Mereka
itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan)
apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu
usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang
apa yang telah mereka lakukan.
|
| 135. |
Dan mereka
(kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau
pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah
(wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu
katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas
dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik".
|
| 136. |
Katakanlah
(wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada
apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan
kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta
anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat)
dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari
Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana
yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah
Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".
|
| 137. |
Maka kalau
mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya),
maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling
(serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya
mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan
kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah
akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 138. |
(Katakanlah
wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya
ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak
Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap
percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
|
| 139. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat
bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal
Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi
kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan
amal dengan) ikhlas kepadaNya;
|
| 140. |
"Atau patutkah
kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak,
dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi
atau Nasrani, (padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi
atau ugama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang
lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang
yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah
kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
telah kamu lakukan.
|
| 141. |
Mereka
itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan)
apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu
usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang
apa yang mereka telah lakukan.
|
| 142. |
Orang-orang
bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya yang
menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya
selama ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan
Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah
kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa
yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus".
|
| 143. |
Dan demikianlah
(sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan
kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu
layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang
yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi
orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu
ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya
dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta
membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya)
dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk
diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk
hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya
Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang
beriman).
|
| 144. |
Kerap kali
Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit,
maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai.
Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya
Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.
Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan
Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah
perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai
akan apa yang mereka lakukan.
|
| 145. |
Dan demi
sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani)
yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran
perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu,
dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian
dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya!
Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu
pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika
demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
|
| 146. |
Orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya
(Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak
mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan
kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).
|
| 147. |
Kebenaran
(yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani)
itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali
engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
|
| 148. |
Dan bagi
tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu
berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat
untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 149. |
Dan dari
mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah
mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat
ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali
lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
|
| 150. |
Dan dari
mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah
mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada
maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang)
alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang
zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah
kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata);
dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh
petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).
|