|
| 76. |
Dan apabila
mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang
yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila mereka
berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada
mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah
kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk
menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu?
Tidakkah kamu berakal?"
|
| 77. |
(Mereka
berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah
mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
|
| 78. |
Dan di
antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui
akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua
mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
|
| 79. |
Kecelakaan
besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu
mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata:
"Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli
keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan
apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari
apa yang mereka usahakan itu.
|
| 80. |
Dan mereka
berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali
beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu
sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi
janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak
kamu mengetahuinya?"
|
| 81. |
(Apa yang
kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan
dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
|
| 82. |
Dan orang-orang
yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di
dalamnya.
|
| 83. |
Dan (ingatlah
wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil
(dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat
baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta
orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan
yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu
berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian
kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan
perjanjian setianya.
|
| 84. |
Dan (ingatlah),
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah
kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah
kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian
kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula
menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).
|
| 85. |
Kemudian
kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan
kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling
bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan
dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai
orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan
juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian
(dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka
tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu,
selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak
mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak
sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
|
| 86. |
Mereka itulah
orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya)
dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam
kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada
hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. |
| 87. |
Dan sesungguhnya
Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian
daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa
Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus
(Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul
membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu
(dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul
itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
|
| 88. |
Dan mereka
(kaum Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)".
(Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan
mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka
yang beriman.
|
| 89. |
Dan ketika
datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang mengesahkan
apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa
memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan
seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang
mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka
mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang
yang kafir ingkar itu.
|
| 90. |
Sejahat-jahat
perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan
dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh
Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi
Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan
Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara
yang menghinakan.
|
| 91. |
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan
oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya beriman
kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka ingkarkan
(Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran
itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah
(wahai Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah
pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?".
|
| 92. |
Dan sesungguhnya
telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat)
kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu
(dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
|
| 93. |
Dan (ingatlah)
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan
bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah
ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh,
dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)".
Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". Sedang kegemaran menyembah
(patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan
sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya
apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman".
|
| 94. |
Katakanlah
(wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu telah
menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri
oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah
mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang
yang benar".
|
| 95. |
Dan sudah
tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan
sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui
akan orang-orang yang zalim itu.
|
| 96. |
Demi sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada
hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi
loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya
ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak
akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah),
Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
|
| 97. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril
itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan
kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya),
serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang
beriman".
|
| 98. |
Sesiapa
memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan
memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril
dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah
adalah musuh bagi orang-orang kafir.
|
| 99. |
Dan sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang
jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan
orang-orang yang fasik.
|
| 100. |
Patutkah
(mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali
mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan
dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
|