|
| 51. |
Dan (kenangkanlah)
ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah
ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu
menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim
(terhadap diri sendiri).
|
| 52. |
Kemudian
sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
|
| 53. |
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan
(yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan
yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
|
| 54. |
Dan (kenangkanlah)
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu
telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak
lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu
bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah
yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya
Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".
|
| 55. |
Dan (kenangkanlah)
ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga
kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka
kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
|
| 56. |
Kemudian
kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir
itu), supaya kamu bersyukur.
|
| 57. |
Dan Kami
telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan
Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah
dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu".
Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu),
tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.
|
| 58. |
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah
dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja
yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah
diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami
'; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah
pula pahala orang-orang yang berbuat baik".
|
| 59. |
Kemudian
orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami)
yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan
ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab
mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
|
| 60. |
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman:
"Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), folalu terpancutlah
dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di
antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami
berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah
kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".
|
| 61. |
Dan (kenangkanlah)
ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan
makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami,
supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari
sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang
dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu
menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah
kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu".
Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya
mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan
mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat
yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan
tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka
menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.
|
| 62. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora
(Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman
kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka
bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan
(dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula
tidak akan berdukacita.
|
| 63. |
Dan (ingatlah),
ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung
Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat yang telah
Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh,
dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu
bertaqwa.
|
| 64. |
Kemudian
sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya);
maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada
kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan
orang-orang yang rugi.
|
| 65. |
Dan sesungguhnya
kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara
kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada
mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
|
| 66. |
Maka Kami
jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang
yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
|
| 67. |
Dan (ingatlah),
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya
kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak
menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada
Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan
sesuatu yang tidak patut)".
|
| 68. |
Mereka
berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya
kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya
Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak
terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu;
maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
|
| 69. |
Mereka
berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya
kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman:
Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya,
lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".
|
| 70. |
Mereka
berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya
kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang
dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami
insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu
itu)".
|
| 71. |
Nabi Musa
menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki
itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah
(sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram
tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka
berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang
sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir
mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
|
| 72. |
Dan (ingatlah),
ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama
sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang
kamu sembunyikan.
|
| 73. |
Maka Kami
(Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang
kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah
Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada
kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
|
| 74. |
Kemudian
sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras
lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air
sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah
lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh
ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai
daripada apa yang kamu kerjakan.
|
| 75. |
(Sesudah
kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya
hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa
mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal
sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah
(Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka
memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
|