|
| 26. |
Sesungguhnya
Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga
ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu
kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan
itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka
akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya):
Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu,
dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan
Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan
orang-orang yang fasik;
|
| 27. |
(Iaitu)
orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya,
dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka
pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang
yang rugi.
|
| 28. |
Bagaimana
kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum
lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian
Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
|
| 29. |
Dia lah
(Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia
menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya
tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 30. |
Dan (ingatlah)
ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan
itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di
bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
|
| 31. |
Dan Ia
telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya,
kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah
kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
|
| 32. |
Malaikat
itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan
selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah
yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
|
| 33. |
Allah berfirman:
"Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka
setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah
berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui
segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan
dan apa yang kamu sembunyikan?".
|
| 34. |
Dan (ingatlah)
ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada
Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
|
| 35. |
Dan kami
berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan
makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan
janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
|
| 36. |
Setelah
itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan
mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan
Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada
sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di
bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
|
| 37. |
Kemudian
Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan
taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya
Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
|
| 38. |
Kami berfirman
lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada
kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan
kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak
ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka
pula tidak akan berdukacita".
|
| 39. |
Dan orang-orang
kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.
|
| 40. |
Wahai Bani
Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada
kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan
perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa
gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).
|
| 41. |
Dan berimanlah
kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya
Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula
kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu
(sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya;
dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
|
| 42. |
Dan janganlah
kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan
yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
|
| 43. |
Dan dirikanlah
kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah)
bersama-sama orang-orang yang rukuk.
|
| 44. |
Patutkah
kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri
kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
|
| 45. |
Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang;
dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang
yang khusyuk;
|
| 46. |
(Iaitu)
mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka,
dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
|
| 47. |
Wahai Bani
Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu,
dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang
taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
|
| 48. |
Dan peliharalah
diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak
dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab),
dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya
sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang
pertolongan.
|
| 49. |
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa
menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak
lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian
yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan
kamu.
|
| 50. |
Dan (kenangkanlah)
ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri
dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun
bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
|