|
| 1. |
Alif, Laam,
Miim.
|
| 2. |
Kitab Al-Quran
ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan
tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak)
bertaqwa;
|
| 3. |
Iaitu orang-orang
yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan)
sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang
Kami berikan kepada mereka.
|
| 4. |
Dan juga
orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu
(Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta
mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
|
| 5. |
Mereka
itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang
yang berjaya.
|
| 6. |
Sesungguhnya
orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka:
sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka
tidak akan beriman.
|
| 7. |
(Dengan
sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran
mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula
disediakan azab seksa yang amat besar.
|
| 8. |
Dan
di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan
kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
|
| 9. |
Mereka
hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka
hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
|
| 10. |
Dalam hati
mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki),
maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta
(dan mendustakan kebenaran).
|
| 11. |
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan
di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya
membuat kebaikan".
|
| 12. |
Ketahuilah!
Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat
bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
|
| 13. |
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah
beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya
orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang
yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
|
| 14. |
Dan apabila
mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami
telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka,
mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya
kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
|
| 15. |
Allah (membalas)
memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka
(yang melampaui batas itu).
|
| 16. |
Mereka
itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk;
maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh
petunjuk hidayah.
|
| 17. |
Perbandingan
hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan
api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan
cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita,
tidak dapat melihat (sesuatu pun).
|
| 18. |
Mereka
(seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka
tidak dapat kembali (kepada kebenaran).
|
| 19. |
Atau (bandingannya)
seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan
gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam
telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati.
(Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah
meliputi orang-orang yang kafir itu.
|
| 20. |
Kilat itu
pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap
kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam
cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu
dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya
pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
|
| 21. |
Wahai sekalian
manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan
orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang
yang) bertaqwa.
|
| 22. |
Dia lah
yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta
segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya
air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan
bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah
ialah Tuhan Yang Maha Esa).
|
| 23. |
Dan kalau
kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada
hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya
boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang
benar.
|
| 24. |
Maka kalau
kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya,
maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya:
manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang
kafir.
|
| 25. |
Dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya
mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap
kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu,
mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka
diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan
disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri
yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
|