|
| 1. |
Segala
puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad),
Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok
(terpesong):
|
| 2. |
(Bahkan
keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi
amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya
dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman
yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang
baik.
|
| 3. |
Mereka
tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
|
| 4. |
Dan juga
Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:" Allah mempunyai
anak".
|
| 5. |
(Sebenarnya)
mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga
bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari
mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
|
| 6. |
Maka jangan-jangan
pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung
dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan
beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
|
| 7. |
Sesungguhnya
Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya,
kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik
amalnya.
|
| 8. |
Dan sesungguhnya
Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah
yang tandus.
|
| 9. |
Adakah
engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim"
itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan
Kami?
|
| 10. |
(Ingatkanlah
peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka
berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah
kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama
kami".
|
| 11. |
Lalu Kami
tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak
bilangannya.
|
| 12. |
Kemudian
Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari
dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya
mereka hidup (dalam gua itu).
|
| 13. |
Kami ceritakan
kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka
itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi
mereka dengan hidayah petunjuk.
|
| 14. |
Dan Kami
kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun
(menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta
dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah
Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna
kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
|
| 15. |
(Mereka
berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan
yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata
yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi
mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari
orang-orang yang berdusta terhadap Allah.
|
| 16. |
Dan oleh
kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka
sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu,
supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan
kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan
yang berguna".
|
| 17. |
Dan engkau
akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka;
dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka
berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda
(yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk
oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa
yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang
penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
|
| 18. |
Dan engkau
sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka
dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka
menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka,
tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah
engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
|
| 19. |
Dan demikianlah
pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan
sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu
tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari
atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan
kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah
seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah
dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal
(yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit
habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh
(semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan
sesiapapun menyedari akan hal kamu.
|
| 20. |
"Sesungguhnya,
kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan
membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka
(secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan
berjaya selama-lamanya".
|
| 21. |
Dan demikianlah
Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui
bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa
hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku
semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya
semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah
sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal
ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja)
pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua
mereka".
|
| 22. |
(Sebahagian
dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang
keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan
mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba
dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain
berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing
mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan
mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu,
janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan
bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran),
dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun
dari golongan (yang membincangkannya).
|
| 23. |
Dan janganlah
engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan
lakukan yang demikian itu, kemudian nanti".
|
| 24. |
Melainkan
(hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta
sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan
Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang
dari ini".
|
| 25. |
Dan mereka
telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli
Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).
|