|
| 76. |
Dan sesungguhnya
mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi
(Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika
berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan
sedikit masa sahaja.
|
| 77. |
(Demikianlah)
peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan
sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang
perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.
|
| 78. |
Dirikanlah
olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan
(dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah
disaksikan (keistimewaannya).
|
| 79. |
Dan bangunlah
pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud"
padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit
dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
|
| 80. |
Dan pohonkanlah
(wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam
urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah
daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah
kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",
|
| 81. |
Dan katakanlah:"
Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah
(kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara
yang tetap lenyap".
|
| 82. |
Dan Kami
turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi
ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya)
Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran
mereka) melainkan kerugian jua.
|
| 83. |
Dan apabila
Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan
diri (dari bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus
asa.
|
| 84. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya
sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang
lebih betul jalannya".
|
| 85. |
Dan mereka
bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku;
dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
|
| 86. |
Dan sesungguhnya
jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan
kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap
Kami untuk mengembalikannya.
|
| 87. |
(Tetapi
kekalnya Al-Quran itu) hanyalah sebagai rahmat dari tuhanmu; sesungguhnya
limpah kurnianya kepadamu (wahai Muhammad) amatlah besar.
|
| 88. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun
dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran
ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya,
walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".
|
| 89. |
Dan sesungguhnya
Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran
ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar);
dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.
|
| 90. |
Dan mereka
berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad),
sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
|
| 91. |
Atau (sehingga)
engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau
mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar
terus-menerus.
|
| 92. |
Atau (sehingga)
engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau
katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat
untuk kami menyaksikannya.
|
| 93. |
Atau (sehingga)
engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau
naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu
ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami
membacanya". Katakanlah (wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku! Bukankah
aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?
|
| 94. |
Dan tiadalah
yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada
mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi
Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah mengutus
seorang manusia menjadi Rasul?"
|
| 95. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal
mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat
yang menjadi rasul".
|
| 96. |
Katakanlah
lagi: "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya
adalah Ia Amat Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan
hamba-hambaNya".
|
| 97. |
Dan sesiapa
yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya
berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau
tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain
daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret
mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak;
tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan
apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.
|
| 98. |
Balasan
mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami,
dan mereka berkata: "Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang
reput, adakah Kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
|
| 99. |
Tidakkah
mereka mahu memikirkan dan meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit
dan bumi, berkuasa menciptakan orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk
yang baharu), padahal Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak
ada syak padanya.? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima
melainkan kekufuran.
|
| 100. |
Katakanlah
(wahai muhammad): "jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada
ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan;
dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut".
|