|
| 51. |
Atau lain-lain
makhluk yang terlintas di hati kamu sukar hidupnya, (maka Allah berkuasa
menghidupkannya)!" Mereka pula akan bertanya: "Siapakah yang akan mengembalikan
kita hidup semula?" Katakanlah: "Ialah Allah yang menjadikan kamu pada
mulanya!" Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil
bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai akan
berlaku tidak lama lagi!"
|
| 52. |
(Ingatlah
akan) hari Ia menyeru kamu lalu kamu menyahut sambil memuji kekuasaanNya,
dan kamu menyangka, bahawa kamu tinggal (dalam kubur) hanya sebentar.
|
| 53. |
Dan katakanlah
(wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata
dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran);
sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin
dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata
bagi manusia.
|
| 54. |
Tuhan kamu
lebih mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi
rahmat kepada kamu; atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan
Kami tidak mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang
menguasai urusan mereka.
|
| 55. |
Dan Tuhanmu
(wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit
dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi
atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada
Nabi Daud.
|
| 56. |
Katakanlah
(wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu
dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka
tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya".
|
| 57. |
orang-orang
yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada
Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada
Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan
azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya)
ditakuti.
|
| 58. |
Dan tiada sesebuah
negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau
Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu
adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). |
| 59. |
Dan tiada
yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu
melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang
telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud
unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka
berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat
itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya
kalau mereka tidak beriman).
|
| 60. |
Dan (ingatlah)
ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu
meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami
menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu
melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan)
pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan
berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan
dengan kekufuran yang melampau.
|
| 61. |
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada
Adam"; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah aku
sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"
|
| 62. |
Ia berkata
lagi: "Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?
Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan
memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)".
|
| 63. |
Allah berfirman
(kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian
siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah
balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
|
| 64. |
Dan desak
serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan
kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk
mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan
harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)".
Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya
semata-mata.
|
| 65. |
Sesungguhnya
hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis)
mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah
Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
|
| 66. |
Tuhan kamulah
yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari
rezeki dari limpah kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada
kamu.
|
| 67. |
Dan apabila
kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan
kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah
selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan
memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).
|
| 68. |
Adakah
kamu - (sesudah diselamatkan ke darat) - merasa aman (dan tidak memikirkan),
bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu,
atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu
dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung
kamu?
|
| 69. |
Atau adakah
kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan
kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut
yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu
dengan sebab kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang
boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami?
|
| 70. |
Dan sesungguhnya
Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan
berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan
rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan
mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami
ciptakan.
|
| 71. |
(Ingatlah)
hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian
sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya
(dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang
baik) sedikitpun.
|
| 72. |
Dan (sebaliknya)
sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka
ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
|
| 73. |
Dan sesungguhnya
nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang
Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara
yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah mereka
menjadikan engkau sahabat karibnya.
|
| 74. |
Dan kalaulah
tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah
engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.
|
| 75. |
Jika (engkau
melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang
berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati;
kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.
|