|
| 1. |
Maha Suci
Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid
Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati
sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
|
| 2. |
Dan Kami
telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk
bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan
yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)".
|
| 3. |
(Wahai)
keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh
(di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.
|
| 4. |
Dan Kami
menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan
melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu
akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
|
| 5. |
Maka apabila
sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua
(kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat
gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk
rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu)
adalah satu janji yang tetap berlaku.
|
| 6. |
Kemudian
(setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan
mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak
pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
|
| 7. |
Jika kamu
berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk
diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk)
berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas
perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk
memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki
masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang
pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan
sehancur-hancurnya.
|
| 8. |
Mudah-mudahan
Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu
kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia);
dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari
akhirat).
|
| 9. |
Sesungguhnya
Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan
memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan
amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
|
| 10. |
Dan bahawa
orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi
mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 11. |
Dan manusia
berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa
dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.
|
| 12. |
Dan Kami
jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami),
maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan
Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari
rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan
tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu
(yang kamu perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya
satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.
|
| 13. |
Dan tiap-tiap
seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada
hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya)
yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
|
| 14. |
(Lalu Kami
perintahkan kepadanya): "Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau
sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala
yang telah engkau lakukan)".
|
| 15. |
Sesiapa
yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya
faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri,
dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya
ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan
memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah
Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk
menerangkan yang benar dan yang salah).
|
| 16. |
Dan apabila
sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan
(lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka
(supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka
berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.
|
| 17. |
Dan berapa
banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan
cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa
hambaNya.
|
| 18. |
Sesiapa
yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya
dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki;
kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk
membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
|
| 19. |
Dan sesiapa
yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk
akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka
yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
|
| 20. |
Tiap-tiap
golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan
kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian
Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).
|
| 21. |
Lihatlah
bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain
(dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat
lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan
kelebihannya.
|
| 22. |
Janganlah
engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya
engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.
|
| 23. |
Dan Tuhanmu
telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata,
dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan
dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia
(yang bersopan santun).
|
| 24. |
Dan hendaklah
engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,
dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah
rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
|
| 25. |
Tuhan kamu
lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang
yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah
Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
|