|
| 1. |
Alif,
Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai
Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita
kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang
Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
|
| 2. |
Allah
jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan
kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran)
dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak).
|
| 3. |
Orang-orang
yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia
dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong,
mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh
terpesongnya.
|
| 4. |
Dan
Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya
supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga
memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 5. |
Dan
sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan
membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau
mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah
mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi
tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang
kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.
|
| 6. |
Dan
(ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah
kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya
yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka
pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan
kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan
yang besar dari Tuhan kamu".
|
| 7. |
Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya,
jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
|
| 8. |
Dan
Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya
berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana
sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
|
| 9. |
(Mengapa
kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang
yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud
serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun yang
mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh
rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu
mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya
kami kufur ingkarkan apa yang - mengikut dakwaan kamu - kamu diutus membawanya,
dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman
dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya".
|
| 10. |
Rasul-rasul
mereka bertanya: "Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya
Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana
hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh
kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: "Kamu
tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat
kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami.
Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata".
|
| 11. |
Rasul-rasul
mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti
kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya
dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang
bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang demikian
maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.
|
| 12. |
"Dan
mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan
jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya,
kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan
yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang
yang mahu berserah".
|
| 13. |
Dan
berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi
sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi
seugama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi
sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.
|
| 14. |
"Dan
demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya
kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang
yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji
azabKu".
|
| 15. |
Dan
(Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada Allah,
untuk mendapat kemenangan); dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong
takbur, lagi bersikap degil (dalam keingkarannya).
|
| 16. |
Di
belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air
danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka).
|
| 17. |
Ia
meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh
tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala
arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu);
dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.
|
| 18. |
Bandingan
(segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap
Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang
kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka
telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh
dari dasar kebenaran.
|
| 19. |
Tidakkah
engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah menciptakan langit
dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat? Jika Ia kehendaki
nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan
pula dengan makhluk-makhluk yang baharu.
|
| 20. |
Dan
yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.
|
| 21. |
Dan
mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada
hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada
orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi
pemimpinnya): "Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah
kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? " Mereka menjawab:
"Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan
jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita
menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi
kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)".
|
| 22. |
Dan
berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah
telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan
kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang
alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu
lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan
daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu
dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu
lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku
denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu
pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
|
| 23. |
Dan
dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan
izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari malaikat)
di dalam Syurga-syurga itu.
|
| 24. |
Tidakkah
engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan,
iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang
pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang
ke langit.
|
| 25. |
Dia
mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah
mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka
beringat (mendapat pelajaran).
|