|
| 26. |
Allah
memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya.
Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan
dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding
dengan kesenangan hari akhirat.
|
| 27. |
Dan
orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad)
satu mukjizat dari Tuhannya? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya),
dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, -
|
| 28. |
"(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah".
Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
|
| 29. |
Orang-orang
yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan
dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
|
| 30. |
Demikianlah,
Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya
beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran
yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman
Katakanlah: "Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku
(dan kamu semuanya)".
|
| 31. |

Dan
kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar
bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan
isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat
menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab
Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah
menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka
tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki
tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan
mereka semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab
kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta
benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang
berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar
kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya
Allah tidak memungkiri janjiNya.
|
| 32. |
Dan
sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu
(wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul
itu ke suatu masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan
azab; maka tidaklah terperi seksanya azabKu itu.
|
| 33. |
Setelah
diketahui demikian maka tidaklah patut disamakan Allah Tuhan yang berkuasa
mengawas, tiap-tiap diri dan mengetahui akan apa yang telah diusahakan
oleh diri-diri itu, (dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam
pada itu, mereka yang kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu
bagi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang
kamu sembah itu). Atau adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan
apa yang tidak diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan
kata-kata yang lahir (sedang pada hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan sebenarnya
telah diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran
dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa
nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa
yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada
sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. |
| 34. |
Mereka
beroleh azab dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat
lebih menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat
melindungi mereka dari azab Allah itu.
|
| 35. |
Sifat
Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya
sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus
dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang
bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.
|
| 36. |
Dan
orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang
Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan
dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah: "Sesungguhnya
aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya
dengan sesuatu yang lain: kepadaNyalah aku menyeru (manusia semuanya untuk
menyembahNya), dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya untuk
menerima balasan)".
|
| 37. |
Dan
demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan
demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu
mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran),
maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal
dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).
|
| 38. |
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami
jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang
kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan
dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara
dan hukum yang telah ditentukan oleh "Suratan Azali".
|
| 39. |
Allah
menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua
yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".
|
| 40. |
Sama
ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang
Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya
maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum
yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal
mereka.
|
| 41. |
Mengapa
mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa
kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan
dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya? Dan
(ingatlah) Allah menghukum menurut apa yang dikehendakiNya; tiada sesiapapun
yang dapat menghalang hukumNya, dan dia lah juga yang amat cepat hitungan
hisabNya.
|
| 42. |
Dan
sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan
jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang
kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat.
Ia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang
yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk)
pada hari akhirat kelak.
|
| 43. |
Dan
orang-orang yang kafir itu berkata: "Engkau bukanlah seorang Rasul dari
Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku
dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan
mengenai Kitab Allah"
|