|
| 1. |
Alif,
Laam, Miim, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan
kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan
manusia tidak (mahu) beriman. . |
| 2. |
Allah
jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana
yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan
matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari
keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang
mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu,
supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan). |
| 3. |
Dan Dia
lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang
(terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap
jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi
siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi
tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. |
| 4. |
Dan di
bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya);
dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon
tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan
air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang
lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta
memahaminya. |
| 5. |
Dan jika
engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan
mereka yang kafir itu (yang mengatakan): "Adalah apabila kami telah menjadi
tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?"
Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah
yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah
juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. |
| 6. |
Dan mereka
meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan)
sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum
mereka peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir
seperti mereka. dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya
bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya
Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap
ingkar). |
| 7. |
Dan berkatalah
orang-orang yang kafir: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu
mukjizat dari Tuhannya?" Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah
seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap
umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar. |
| 8. |
Allah
mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa
yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap
sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu. |
| 9. |
Dia
lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah
jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya). |
| 10. |
Sama sahaja
kepadaNya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati
dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang
keluar berjalan pada waktu siang. |
| 11. |
Bagi tiap-tiap
seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari
belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan
perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan
apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana
(disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat
menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun
yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. |
| 12. |
Dia lah
yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir),
dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan
tebal yang berat (dengan air). |
| 13. |
Dan
Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut
kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan
dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar
itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung
dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya. |
| 14. |
Kuasa
menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah; dan benda-benda
yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat menyahut atau
memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan
kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air
itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah ibadat dan doa
permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan. |
| 15. |
Dan kepada
Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut,
sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang
mereka; pada waktu pagi dan petang. |
| 16. |
Bertanyalah
(wahai Muhammad): "Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit
dan bumi?" Jawablah: "Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau demikian, patutkah
kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan
Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri,
dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah lagi: "Adakah sama,
orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita
dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi
Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan
itu menjadi kesamaran kepada mereka?" Katakanlah: "Allah jualah yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa". |
| 17. |
Ia menurunkan
air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya)
menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian
banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang
dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang
diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal
perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu
maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang
berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah
menerangkan misal-misal perbandingan. |
| 18. |
Bagi
orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik-baiknya;
dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka
mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu
lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu disediakan
baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka
ialah neraka jahanam; dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.
|
| 19. |
Maka adakah
orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu
itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya?
Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang
yang berakal sempurna. |
| 20. |
Orang-orang
yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian
yang telah diperteguhkan itu; - |
| 21. |
Dan orang-orang
yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan,
dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada
kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari
kiamat); - |
| 22. |
Dan orang-orang
yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan
sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka,
secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan
dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan
yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; - |
| 23. |
Iaitu
Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang
yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka
serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada
mereka dari tiap-tiap pintu; -
|
| 24. |
(Memberi
hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan
kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
|
| 25. |
Dan
(sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah
supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di
muka bumi, - mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan
hari akhirat yang seburuk-buruknya.
|