|
| 76. |
Maka Yusuf
pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat
barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang
hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah
Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan
dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali
jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan
pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang
berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,
|
| 77. |
Mereka
berkata:" Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya
saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang
menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya
kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya;
dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".
|
| 78. |
Merekapun
merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin),
mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah
seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu
dari orang-orang yang sentiasa berbudi ".
|
| 79. |
Yusuf berkata:
"Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang
yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami
mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim".
|
| 80. |
Maka apabila
mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan
diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya
yang sulung): "Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji
dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan
janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu,
aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku
izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan
negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.
|
| 81. |
Kembalilah
kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu
(Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan
dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang
ghaib.
|
| 82. |
Dan bertanyalah
kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada
orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah
orang-orang yang benar".
|
| 83. |
(Setelah
mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah
ia: "(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah
memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan).
Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah
mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 84. |
Dan (bapa
mereka - Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan
itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua
belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang
memendamkan marahnya di dalam hati.
|
| 85. |
Mereka
berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga
ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".
|
| 86. |
(Nabi Yaakub)
menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku
kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah,
apa yang kamu tidak mengetahuinya.
|
| 87. |
Wahai anak-anakku!
Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin),
dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya
tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum
yang kafir".
|
| 88. |
Maka (bertolaklah
mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka:
"Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan
(kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik
dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri
ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah
kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada
orang-orang yang bermurah hati menderma".
|
| 89. |
Yusuf berkata:
"Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf
dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?"
|
| 90. |
Mereka
bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah
Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan
nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka
sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat
kebaikan.
|
| 91. |
Mereka
berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan
engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya
kami adalah orang-orang yang bersalah".
|
| 92. |
Yusuf berkata:
"Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan
kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan
Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
|
| 93. |
Pergilah
dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia
dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya".
|
| 94. |
Dan semasa
kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin),
berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya
aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk
(tentulah kamu akan percaya)".
|
| 95. |
Mereka
berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak
siumanmu yang lama".
|
| 96. |
Maka sebaik-baik
sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan
baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti
sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu,
sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan
apa yang kamu tidak mengetahuinya?"
|
| 97. |
Mereka
berkata: "Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami;
sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".
|
| 98. |
Nabi Yaakub
berkata: "Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia
lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
|
| 99. |
Maka ketika
mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf
segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah
kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.
|
| 100. |
Dan ia
dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran.
Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan
(pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku
dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya
Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari
penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan
hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya
Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya
Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|