|
| 1. |
Alif, Laam,
Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.
|
| 2. |
Sesungguhnya
Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab,
supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.
|
| 3. |
Kami ceritakan
kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan
kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu
itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.
|
| 4. |
(Ingatlah
peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya
aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat
mereka tunduk memberi hormat kepadaku".
|
| 5. |
Bapanya
berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu,
kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu.
Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
|
| 6. |
Dan demikianlah
caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan
menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana
Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak.
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
|
| 7. |
Demi sesungguhnya!
(Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran
bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).
|
| 8. |
(Kisah
itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya
Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal
kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita
adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata."
|
| 9. |
(Ramai
di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat
yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada
kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang
baik dan berguna".
|
| 10. |
Salah seorang
di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah
dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang
musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan
kamu itu".
|
| 11. |
Mereka
pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami!
Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya
kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?
|
| 12. |
Biarkan
dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan
bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan
sebaik-baiknya".
|
| 13. |
Bapa mereka
menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan
daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai
dari mengawalnya ".
|
| 14. |
Mereka
berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya,
sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi".
|
| 15. |
Setelah
mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak
melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan
kami pula ilhamkan kepadanya:" Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat,
dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang
mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) ".
|
| 16. |
Dan sesudah
itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat)
menangis.
|
| 17. |
Mereka
berkata: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba
berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu
ia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada
kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar".
|
| 18. |
Dan (bagi
mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah
palsu. Bapa mereka berkata: "Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada
kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah
aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya,
mengenai apa yang kamu katakan itu."
|
| 19. |
Dan (semasa
Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan)
yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari
air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan
timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru
dengan katanya: "Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak
lelaki (yang cantik parasnya)". (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara
Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya
(untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan
apa yang mereka lakukan.
|
| 20. |
Dan (setelah
berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa
dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.
|
| 21. |
Dan (setelah
Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada
isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna
kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami
menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi),
dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah
Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui.
|
| 22. |
Dan ketika
Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri
kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
|
| 23. |
Dan perempuan
yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan
dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah
ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada
Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku
dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".
|
| 24. |
Dan sebenarnya
perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin
timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan
Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami)
untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan
yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan
dari segala dosa.
|
| 25. |
Dan mereka
berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf
dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu
di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak
ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan
dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya".
|