|
| 101. |
Dan tiadalah
Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat
menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan
yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
|
| 102. |
Dan demikianlah
azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku
zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras
serangannya.
|
| 103. |
Sesungguhnya
pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi
orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia
padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian
makhluk.
|
| 104. |
Dan tiadalah
Kami lambatkan hari kiamat itu melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu.
|
| 105. |
(Pada)
masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata
(untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin
Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.
|
| 106. |
Adapun
orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di
dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik
dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).
|
| 107. |
Mereka
kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki
oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
|
| 108. |
Adapun
orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam
Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi
kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang
tidak putus-putus.
|
| 109. |
Maka janganlah
engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu tentang sia-sianya apa
yang disembah oleh mereka yang musyrik itu. Mereka tidak menyembah melainkan
sama seperti yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik dahulu.
Dan sesungguhnya Kami akan menyempurnakan bagi mereka bahagian mereka (dari
azab yang telah ditentukan) dengan tidak dikurangi.
|
| 110. |
(Janganlah
engkau merasa bimbang wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu) kerana
sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu
berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu
kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu
masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta
kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka masih menaruh perasaan ragu-ragu
tentang (kebenaran Al-Quran) itu.
|
| 111. |
Dan sesungguhnya
tiap-tiap seorang akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka;
sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka
kerjakan.
|
| 112. |
Oleh itu,
hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang
betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang
yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah
kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat
akan apa yang kamu kerjakan.
|
| 113. |
Dan janganlah
kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku
demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang
penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan
kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. |
| 114. |
Dan dirikanlah
sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang
(pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari
waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu
menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi
peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
|
| 115. |
Dan sabarlah
(wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana
sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat
kebaikan.
|
| 116. |
Maka sepatutnya
ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang
yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan
jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit
sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka.
Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan
yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.
|
| 117. |
Dan Tuhanmu
tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman
penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.
|
| 118. |
Dan kalaulah
Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia
semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan
kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.
|
| 119. |
Tetapi
orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam
ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan
manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya
Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang
berdosa)".
|
| 120. |
Dan tiap-tiap
berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad),
untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita
ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.
|
| 121. |
Dan
katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: "Buatlah apa yang kamu
sanggup melakukannya (dari perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga
tetap mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami). |
| 122. |
Dan tunggulah
(akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu
(akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami)".
|
| 123. |
Dan Allah
jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan
segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya.
Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
|